TERKINI

Tukar Alamat Mengundi, Pandangan PAS Berasas – Wan Saiful

Wan Saiful Wan Jan (kiri) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 16 Mac 25 – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Yb Datuk Wan Saiful Wan Jan menolak pandangan Pakatan Harapan yang mengkritik pandangan Wakil PAS Selangor berhubung syor agar penduduk berasal dari negeri lain yang menetap di Selangor, menukar tempat mengundi mereka ke negeri itu.

Wan Saiful dalam satu kenyataan di laman facebook hari ini, berkata pandangan oleh YB Dr Abdul Halim, Adun Paya Jaras itu harus diberi perhatian serius.

Beliau menegaskan bahawa seseorang pengundi sewajarnya mengundi dilokasi dimana pengundi itu bermastautin kerana pilihan tersebut akan memberi kesan secara langsung dengan kehidupan ditempat dimana mereka tinggal.

“Cadangan YB Dr Abdul Halim Tamuri agar mereka yang bermastautin di Selangor mengundi di Selangor perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

“Malahan saya berpandangan bahawa prinsip asas dari cadangan ini mempunyai aplikasi lebih meluas, iaitu sepatutnya seseorang itu hanya mengundi di lokasi dia bermastautin. Ujarnya.

Menurut Wan Saiful lagi, sekiranya seseorang pegundi itu mengundi dilokasi yang bukan tempat mereka bermastautin, pilihannya itu tidak akan memberi apa-apa kesan kepada pengundi itu sendiri.

“Bagi saya, jika seseorang itu mengundi di lokasi yang dia tidak bermastautin (contohnya di kampung tempat lahir yang telah bertahun-tahun ditinggalkan), ia menimbulkan pertembungan dengan prinsip asas demokrasi iaitu kuasa memilih wakil rakyat seharusnya dipegang oleh mereka yang akan menerima kesan daripada pilihan yang dibuat, bukan oleh mereka yang tidak merasa apa-apa kesan dari pilihan mereka.

“Adalah tidak wajar seseorang yang hanya pulang untuk seminggu dua dalam setahun menentukan wakil rakyat yang akan memegang jawatan untuk lima tahun di tempat itu. Katanya.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor turut menambah, sekiranya ia berlaku, ia seperti merampas kuasa penduduk setempat untuk menentukan wakil rakyat mereka sendiri.

“Tidak wajar juga untuk seseorang yang tinggal di sesuatu lokasi bertahun-tahun tetapi sengaja pergi mengundi di tempat lain.

“Ini pula seperti dia tidak mempedulikan siapa yang mewakili kawasan sendiri dan tidak mahu bertanggungjawab kepada lokaliti sendiri.

“Memang seharusnya demokrasi di Malaysia memastikan bahawa konsep “local representation” ditegakkan. Ini juga adalah satu bentuk reformasi institusi. Kata beliau.

Wan Saiful turut menegaskan adalah tidak wajar Pakatan Harapan menolak cadangan yang baik semata-mata disebabkan takut kalah pilihanraya.

Pada 13 Mac lalu, Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri menyuarakan harapan agar penyokong PAS yang bermastautin di Selangor dapat mendaftar untuk mengundi di sana menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kenyataan tersebut mendapat kritikan dari wakil Timbalan Pengerusi Amanah Selangor, Azli Yusof  yang menyifatkan usaha tersebut sebagai terdesak.

Dalam perkembangan yang sama, Ahli Pimpinan Keadilan Pusat, PKR Rodziah Ismail menyifatkan gesaan tersebut sebagai langkah tidak beretika, terdesak yang merosakkan demokrasi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp