TERKINI

Tun M cadang UMNO gabung dengan Bersatu, bukan bubar – Khairuddin

Foto – Khairuddin Abu Hassan

PUTRAJAYA, 11 Julai 24 – Dakwaan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Tun Mahathir Mohamad mengugut beliau untuk membubarkan UMNO adalah fitnah, kata orang kuat Mahathir, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Dalam satu kenyataan, Khairuddin sebaliknya menjelaskan bahawa pada pertemuan Mahathir dan Zahid sebelum ini, Mahathir hanya memberi cadangan agar parti UMNO dan Bersatu bergabung atas hujah, UMNO telah ditolak rakyat pada PRU 14 lalu.

“Tidak pernah sama sekali Tun Dr Mahathir Mohamad mengugut Zahid Hamidi agar membubarkan UMNO atau tindakan pendakwaan kes rasuah akan dikenakan terhadap Presiden UMNO itu sekiranya mengengkarinya.

“Ini adalah satu pendustaan, penipuan dan fitnah oleh Zahid Hamidi yang tidak boleh diterima sama sekali. Ujar Khairuddin.

Khairuddin turut menegaskan bahawa sesi perjumpaan tersebut telah disusun sendiri oleh beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana dimana beliau turut ada bersama dalam pertemuan tersebut.

“Saya adalah orang yang paling awal berhubung serta menjadi ‘jambatan’ pada perjumpaan Zahid Hamidi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas memenangi PRU14 pada tahun 2018.

“Mata saya melihat dan telinga saya mendengari secara jelas semua perbincangan di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Zahid Hamidi di kala itu. Ujar beliau.

Dalam kenyataan yang sama, Khairuddin turut bersetuju dengan keterangan Tan Sri Annuar Musa mengenai fitnah Zahid Hamidi yang menyatakan Tun Dr Mahathir Mohamad mengugut beliau bubarkan parti UMNO atau pendakwaan akan dilakukan ke atas Presiden UMNO itu.

“Apa yang dinyatakan oleh Tan Sri Annuar Musa dalam siaran temu-bual beliau baru-baru ini adalah berdasarkan pada versi serta fakta yang amat tepat.

“Kenyataan oleh Tan Sri Annuar Musa mengenai isu ini juga amat selari dengan apa yang saya saksikan sendiri dalam perjumpaan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Zahid Hamidi pada pagi tersebut. Tegasnya.

Baru-baru ini, Zahid dalam satu rakaman video, dipercayai berucap dihadapan ahli-ahli UMNO mendakwa Mahathir meminta beliau membubarkan UMNO. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp