TERKINI

Peguam ingatkan Shamsul Iskandar asas kedaulatan undang-undang

Mohamed Haniff Khatri Abdulla (Kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 29 Dis 2023 – Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menggesa pihak berkuasa mengamalkan asas kedaulatan undang-undang iaitu menyiasat sesuatu kes apabila terdapat aduan dibuat mengikut Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau ketika mengulas kenyataan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, berkata, sekiranya pihak berkuasa bertindak menyiasat sesuatu perkara hanya berdasarkan kenyataan seseorang individu maka ia akan menimbulkan tanggapan bahawa kerajaan menyalahgunakan kuasa.

“Sebelum memulakan apa-apa penyiasatan, kita perlu berbalik kepada asas kedaulatan undang-undang iaitu aduan.

“Sekiranya ada aduan dibuat maka baru boleh kita tengok sama ada laporan tersebut wajar disiasat atau tidak.

“Jika aduan berkenaan pernah dibuat bertahun-tahun dahulu dan disiasat tetapi tiada apa-apa keterangan yang menjurus kepada siasatan lanjut maka tidak wajar untuk fail dibuka semula,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamed Haniff menyifatkan mana-mana individu yang sewenang-wenangnya menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri itu sebagai tidak mempunyai tahap kefahaman yang baik tentang kedaulatan undang-undang.

Jelasnya, walaupun seseorang individu atau negarawan membuat kenyataan berbaur sindiran seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir, ia tidak bermakna siasatan boleh terus dilakukan.

“Jika secara tiba-tiba pihak polis atau SPRM mengumumkan untuk melakukan siasatan terhadap Tun M maka rakyat beranggapan ia (siasatan) dibuat berdasarkan kenyataan individu berkenaan.

“Bagaimanapun, dari segi kedaulatan undang-undang, hal tersebut tidak boleh menjadi asas kepada siasatan.

“Kalau itu berlaku, rakyat akan memiliki persepsi bahawa kerajaan salah guna kuasa,” ujarnya.

Baru-baru ini, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung harta yang dimiliki dan bagaimana aset tersebut diperoleh. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp