TERKINI

Tun M sertai ribuan rakyat serah memorandum kepada Agong

Mahathir Mohamad dalam himpunan di depan Istana Negara – foto youtube

KUALA LUMPUR, 24 Jan 2024 – Tun Dr Mahathir turun bersama-sama menyertai ribuan orang berhimpun di hadapan pintu dua Istana Negara bagi membawa suara rakyat dalam himpunan Selamatkan Tanah Air Kita Suara Rakyat Ke Istana Negara, di sini, semalam.

Memetik laporan Berita Harian, himpunan yang dianjurkan sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), mewakili tiga wakil gabungan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyerahkan memorandum yang dipercayai mengandungi pelbagai tuntutan membabitkan isu semasa negara ketika ini.

Empat individu menyampaikan memorandum terbabit ke kawasan istana sebelum diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mereka ialah Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya; Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali; Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad dan Setiausaha Agung Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Aswanizam Alias.

Tinjauan mendapati perhimpunan dilakukan dalam keadaan terkawal dengan pemantauan pihak polis yang turut menjaga pintu masuk jalan ke pintu dua Istana Negara.

Orang ramai juga melaungkan takbir sambil mengangkat sepanduk membawa mesej ‘Rakyat Bersama Hemat Yang Di-Pertuan Agong’.

Peserta himpunan kemudian dilihat beredar dari lokasi pada kira-kira jam 11.30 pagi, semalam. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp