TERKINI

Tun M tidak gentar walaupun 9 kali disiasat polis

Mahathir Mohamad – foto The Merdeka Times

KUALA LUMPUR, 5 Sept 2023 – Sembilan kali siasatan dan rakaman percakapan pihak polis tidak sekali-kali menggentarkan Tun Dr Mahathir Mohamad daripada berhenti bercakap soal masalah orang Melayu di dalam negara.

Bercakap dalam ceramah Perikatan Nasional (PN) di Johor malam tadi, bekas perdana menteri itu berkata, walaupun mengetahui akan terus menjadi sasaran pihak berkuasa, tanggungjawab itu tidak akan diabaikan.

“Ini dengan mudahnya perdana menteri bercakap tak boleh bercakap soal 3R nak tutup mulut kita.

“Saya tahulah dia boleh arah polis suruh soal saya, saya sembilan kali dah. 10, 11, atau 12 kali pun, tapi saya nak cakap juga berkenaan bangsa saya.

“Saya tak nak lihat bangsa saya hilang negara mereka. Ada bangsa yang hilang negara,” kata Mahathir.

Mahathir berkata, larangan dibuat kerajaan menghalang ucapan menyentuh isu kaum, agama, dan raja atau 3R itu adalah kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak mempunyai kuasa perundangan.

“Kita tak boleh terima undang-undang buatan perdana menteri, siapa dia? Masa saya perdana menteri dulu, nak buat undang-undang kena buat melalui Kabinet, melalui Dewan Rakyat, Dewan Negara, dapat tandatangan baru jadi undang-undang

“Sebab itu saya kata dakwaan kita tak boleh bercakap berkenaan 3R tidak ikut undang-undang negara.

“Ini kononnya diisytihar oleh perdana menteri, saya semak Perlembagaan berkali kali nak cari apakah perdana menteri boleh buat undang-undang, tidak,” kata Mahathir lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp