TERKINI

Tun M Ulangi Peringatan, Amalan LGBT Rosakkan Nilai Hidup Manusia

Gambar hiasan, Mahathir Mohamad dalam salah satu siri dialog di Sarajevo – Foto facebook Dr Mahathir Mohamad

Terdapat penuntut Malaysia yang belajar di barat menerima amalan gaya hidup songsang mengejar kebebasan yang merosakkan nilai hidup manusia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Merujuk kepada amalan Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transeksual, (LBGT) bekas perdana menteri itu berkata, amalan itu menjadikan manusia hilang pedoman dan bakal mengakibatkan huru hara.

“Ramai juga penuntut Malaysia yang ke sekolah atau ke universiti di negara barat menerima budaya songsang ini, kata mereka apa salahnya. Mereka cuma ingin keseronokan. Mereka tidak membinasa sesiapa.

“Demikianlah perubahan nilai hidup dan budaya hasil dari mengejar persamaan dan kebebasan oleh masyarakat manusia, dengan ini masyarakat akan hilang pedoman dan akan alami huru hara dan kehancuran,” katanya, dalam hantaran di laman media sosial miliknya.

Mahathir berkata, bangsa barat kini berhadapan keruntuhan nilai moral dan akhlak dengan mengiktiraf amalan tersebut melalui penggubalan undang-undang.

“Sesungguhnya akhlak bangsa barat sudah rosak teruk. Dalam mengejar persamaan (equality), antara lelaki dan perempuan, mereka sudah sampai ke tahap haiwan. Apa sahaja yang boleh dilakukan oleh lelaki boleh dilakukan oleh perempuan dan sebaliknya. Kalau lelaki boleh berzina dengan pelacur perempuan, perempuan juga boleh berzina dengan pelacur lelaki.

“Undang-undang mereka pun sudah dipinda supaya yang diharam dahulu dihalalkan dan yang dihalalkan dahulu diharamkan,” katanya.

Lebih parah, anak-anak turut terdidik dengan kebebasan amalan seperti itu.

“Jantina seseorang penuntut di sekolah tidak boleh disoal. Itu hak mereka dan itu yang diajar di sekolah. Ibubapa tidak berhak menentu pegangan kepercayaan atau amalan. Anak perlu bebas,” katanya.

Tujuan daripada amalan tersebut katanya tidak lain hanyalah sekadar pemuas nafsu dan bukan mendirikan keluarga.

“Perkahwinan bukan untuk dapat anak dan mendiri keluarga, perkahwinan hanya untuk memuaskan nafsu,” kata Mahathir. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp