TERKINI

Tun Mahathir bangga ada syarikat Melayu makin maju

Mahathir Mohamad (2 dari kiri) – foto Pejabat TDM

PUTRAJAYA, 3 Nov 2023 – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bangga apabila terdapat perusahaan milik orang Melayu mampu mengeksport produk mereka ke luar negara dengan bantuan peralatan dan teknologi moden.

Dalam lawatan ke Terengganu semalam, Mahathir di bawa melihat dua perusahaan makanan Melayu yang mempunyai pengurusan dan keupayaan yang tinggi membawa produk mereka ke peringkat antarabangsa.

“Saya bangga kerana ada pengusaha Melayu yang guna cara moden mengeluarkan produk barangan makanan untuk eksport ke Australia, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Saudi, Ireland dan lain-lain.

“Penggunaan mesin boleh percepat dan perbanyakkan produk mereka di samping menjaga konsistensi sesuatu produk,” katanya, dalam hantaran media sosial, hari ini.

Lawatan itu kata Mahathir adalah atas kapasitinya sebagai penasihat kehormat empat negeri ditadbir PAS dan Perikatan Nasional (PN) atau SG4.

Beliau di bawa melawat ke syarikat AdeqSue yang menyediakan makanan siap masak dalam bentuk pek dan Muslim Food Industries yang meluarkan makanan seperti bihun, mee, laksa, kuetiau, bebola ikan dan lain-lain.

“Kedua-dua perusahaan ini menggunakan jentera mesin yang boleh hasilkan pengeluaran dalam jumlah besar dan memenuhi permintaan.

“Kedua-dua ini antara contoh baik yang boleh dijadi panduan kepada pengusaha lain yang berminat dalam bidang sebegini. Industri pembuatan dan pembungkusan seperti ini punyai permintaan harian kerana barang makanan biasanya diperlukan setiap hari.

“Selain itu, perusahaan ini juga memerlukan pengurusan logistik yang cekap bagi menentukan ianya sampai ke pasaran,” kata Mahathir.

Tambahnya, apabila munculnya satu syarikat atau industri ia mampu membuka peluang pekerjaaan kepada orang tempatan dan sekeliling seperti keperluan logistik bagi menghantar produk kerana kenderaan memerlukan pengendali seperti kelindan dan pemandu.

“Ini sahaja sudah beri pendapatan kepada orang tempatan dan kitaran ekonomi berlaku secara tidak langsung.

“Selain peluang kerja, saya dapati perusahaan seperti ini mengajar peniaga bagaimana membekal mengikut permintaan,” katanya.

Melalui penggunaan mesin dan jentera, kapasiti pengeluaran mampu ditingkatkan sekaligus pengeluaran secara besar-besaran dapat dilakukan dan peluang meneroka pasaran yang lebih besar.

“Bukan sahaja permintaan sekeliling boleh dipenuhi malah permintaan di luar kawasan termasuk di luar negara juga kita mampu penuhi dan kuasai.

“Kita perlu hantar barangan kita ke negara-negara lain, jadi pasaran bukan lagi sekadar di kampung atau dalam negara tetapi terus ke peringkat antarabangsa,” kata Mahathir.

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Shamsuri Mokhtar dan diberi penerangan berkenaan pelan pembangunan negeri itu.

“Buat masa ini banyak kerja-kerja sudah dilaksana, jadi tidaklah banyak saya perlu bantu, kecuali bidang-bidang tertentu selain dari yang sedia ada,” katanya.

Selain itu Mahathir turut menziarahi kediaman Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang di Rusila, Marang.

“Selepas 90 tahun lebih barulah saya dapat jejak kaki ke rumah kampungnya. Didoakan semoga Hadi dikurniakan kekuatan dan kesihatan yang berpanjangan,” katanya lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp