TERKINI

Tun Mahathir Buka Tirai Kempen PN di Kelantan

Ketibaan Tun M di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa – Foto Adam Mukhriz

KUALA LUMPUR, 21 Julai 2023 – Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan menjadi pembuka tirai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk Perikatan Nasional (PN) di Kelantan, hari ini.

Sejurus tiba dari Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, kira-kira pukul 4 petang, bekas perdana menteri itu dijangka memulakan lawatan ke kediaman bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Tuan Guru Tan Sri Nik Aziz Nik Mat, sebagai kunjungan hormat kepada keluarganya.

Negarawan itu kemudiannya akan mengadakan pertemuan tertutup bersama pemimpin PN, seperti Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, sekitar pukul 5.30 petang.

Pada pukul 9 malam pula, Mahathir bersama barisan kepimpinan PN Pusat dan Kelantan akan menghadiri Majlis Munajat Rakyat Kelantan Pakat Pertahan dan Amanat Pimpinan PN di Stadium Sultan Muhammad IV.

Ini merupakan platform pertama Mahathir berkongsi pentas bersama barisan kepimpinan PN khususnya di Kelantan dan membuka tirai awalan bagi menghadapi PRN yang akan datang.

Beliau dijangka pulang ke Kuala Lumpur selepas selesai majlis tersebut.

Mahathir dan Muhyiddin, pada awal Jun lalu, menyatakan kesediaan untuk kembali bekerjasama sekali lagi, selepas tiga tahun Langkah Sheraton, yang menyaksikan peralihan kerajaan bukan melalui pilihan raya umum yang menyebabkan keretakan hubungan mereka.

Kerajaan PN ketika itu menggantikan kerajaan PH yang dipimpin Mahathir, akibat beberapa pemimpin yang berpaling tadah, menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri, dan Bersatu turut memecat keahlian Mahathir.

Selepas sambutan Aidiladha lalu, Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh mengadakan pertemuan dengan Mahathir berkait Proklamasi Orang Melayu.

Proklamasi yang bertujuan untuk menyatukan orang Melayu melangkaui garis politik itu turut ditandatangani beberapa pimpinan PN termasuk Abdul Hadi dan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp