TERKINI

Tutup Sekolah Persendirian Agama Tak Benar – Menteri

Mohd. Na’im Mokhtar – foto the merdeka times

PUTRAJAYA, 17 Ogos 2023 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar memberi penjelasan berhubung dakwaan sekolah agama persendirian yang diarah keluar dari premis masing-masing, adalah tidak benar sama sekali.

Sebaliknya, Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor dibangunkan dan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2021 bertujuan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan para pelajar dan seluruh warga institusi tahfiz persendirian.

Ia susulan kejadian kebakaran sehingga melibatkan kemalangan jiwa di sebuah sekolah agama persendirian di Kuala Lumpur pada tahun 2017.

“Inisiatif ini diambil sebagai langkah supaya tragedi meragut nyawa tidak berulang lagi di mana-mana sekolah agama di negeri Selangor.

“Pada masa sama, penguatkuasaan Garis Panduan tersebut mendapat kerjasama daripada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 institusi Sekolah Agama Persendirian,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Menurut Mohd. Na’im, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah dimaklumkan sejak 2021 bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Kerajaan Negeri menetapkan pihak sekolah perlu memenuhi syarat pendaftaran melalui Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama yang dikeluarkan.

Jelasnya, kelonggaran sudah diberikan kepada pihak sekolah selama dua tahun dan dalam tempoh ini, pihak JAIS mengeluarkan pendaftaran lanjutan kepada pihak sekolah bagi memberi peluang mereka mendapatkan ulasan daripada agensi berkaitan.

“Semua pihak digesa supaya merujuk isu ini kepada pihak berautoriti supaya fakta dan konteks sesuatu isu itu tepat serta jelas,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp