TERKINI

Ummah Dakwa 20 Ribu Pelajar Islam Selangor Diancam Hilang Tempat Belajar

Gambar hiasan – foto bicara mentari

KUALA LLUMPUR – 18 Jun 2023 – Kira-kira 20,000 pelajar sekolah Islam persendirian (SIP) di Selangor berisiko hilang tempat belajar apabila lebih 80 institusi itu bakal ditamatkan operasinya, kata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS) mendakwa, ia berikutan sekolah tersebut gagal mendapatkan kelulusan permohonan kebenaran merancang dari negeri itu.

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa dalam satu kenyataan memdakwa, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menyukarkan kelulusan penggunaan rumah kedai sebagai tempat pembelajaran SIP dan pelajar-pelajar Islam di Selangor.

“Perkara berkenaan diumumkan melalui satu surat pekeliling yang dikeluarkan kepada pihak sekolah serta menyukarkan proses kelulusan penggunaan bangunan, sehingga ada sekolah yang diarahkan supaya ditutup oleh pihak PBT.

“Ada juga sekolah yang telah disaman dan bayaran denda telah dikenakan kepada pengusaha institusi ini. Ini sangat ketara berlaku di PBT Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSA),” katanya.

Tambahnya, kesukaran itu mengakibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak dapat mengeluarkan surat kelulusan pendaftaran sekolah sementara dan tetap kepada pihak sekolah terbabit.

“Ini telah mengakibatkan pelajar di sekolah terbabit tidak boleh mengambil peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) tahun ini di sekolah-sekolah berkenaan.

“Sebanyak lebih 80 buah sekolah dan lebih 20,000 pelajar yang terbabit di dua PBT yang terlibat iaitu Shah Alam dan Subang Jaya,” katanya lagi.

Perkara itu katanya membimbangkan pentadbir sekolah dan ibu bapa kerana ada murid yang bakal menduduki peperiksaan pada akhir tahun 2023.

“Sebelum ini, perkara seperti itu tidak berlaku, yang mana pihak sekolah telah pun mendapat kelulusan PBT dan JAIS antara tempoh satu hingga lima tahun. Ada di antara sekolah yang terbabit ini telah pun beroperasi diantara lima hingga lebih dua puluh tahun,” jelasnya.

Pihaknya sehubungan itu menggesa pentadbiran kerajaan dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan segera menyelesaikan isu berkenaan melalui meja rundingan.

Ianya adalah bagi kebaikan dan kepentingan semua pihak yang terbabit khususnya masa depan golongan pelajar yang terlibat.

“Adalah sangat tidak wajar menggunakan pelbagai akta dan syarat yang sukar dipenuhi serta membebankan dengan kos yang tinggi kepada pengusaha sekolah, tanpa mengambil kira peranan dan tanggungjawab memberikan pendidikan yang terbaik sewajarnya perlu diambil kira oleh semua pihak secara kolektif,” katanya.

Kerajaan negeri Selangor bagaimanapun menafikan tuduhan yang memburukkan usaha pemutihan sekolah agama persendirian dalam matlamat meningkatkan kualiti dan taraf institusi pendidikan itu, di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, berkata kerajaan negeri telah mengambil langkah sejak 2019 bagi membangunkan Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor’ melibatkan 416 buah sekolah.

Usaha itu katanya dilakukan berasaskan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang gusar dengan peningkatan kejadian malang menimpa sekolah agama itu termasuk tragedi kebakaran yang meragut 23 nyawa dan mencederakan lima murid pada 2018.

Mohd Zawawi berkata kesemua usaha kerajaan negeri telah disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai cubaan untuk menghentikan usaha dakwah di Selangor, termasuk proses pemutihan sejak 2019 dianggap usaha untuk menutup sekolah agama persendirian.

“Usaha kerajaan negeri ini mampu mengangkat martabat sekolah agama persendirian dan diyakini memberi manfaat kepada pelajar dan ibu bapa di Selangor,” katanya dalam kenyataan, sebelum ini.

Malah perkara itu juga katanya mendapat dukungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai oleh 478 institusi sekolah agama persendirian. – Harakahdaily

Facebook
Twitter
WhatsApp