TERKINI

Umno Akan Hilang Johor Jika Ahli Undi PH, kata Chegu Bard

Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bard) – Foto Youtube Jacksparrow

MUAR, 8 Sept 2023 – Aktivis politik Badrul Hisham Shaharin mendakwa ahli Umno tidak seharusnya mengundi calon Pakatan Harapan (PH) di dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu ini, kerana tindakan itu bakal menguburkan Umno di Johor.

Bercakap dalam ceramah kelompok di Simpang Jeram, Badrul Hisham berkata, Umno Johor sudah dimalukan apabila parti itu tidak bertanding di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

“Kepada orang Umno kena faham, beritahu kepada semua, PRK Pulai dan Simpang Jeram merupakan operasi untuk membunuh dan tanam Umno.

“Umno lahir di Johor ada dua kawasan pilihan raya di Johor, kalau kamu (PH) tak nak bagi Pulai (kepada Umno), kamu bagilah (Simpang) Jeram, kalau kamu tak nak bagi Jeram, kamu bagilah Pulai,” katanya.

Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard mendakwa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga tidak lagi mempedulikan parti walaupun dimalukan sedemikian rupa.

“Tapi dia (PH) ambil dua, pemimpin Umno malu nak letak muka, Zahid memang tak peduli dah Umno ini,” katanya.

Kenyataan Ketua Umno Bahagian Pulai Nur Jazlan Mohamed katanya menunjukkan kebenaran dakwaannya itu.

“Umno hilang maruah, kerana itu orang Umno tak ada tanggungjawab seharusnya untuk mengundi ini.

“Kalau kamu undi Pakatan Harapan, kamu kena tahu bahawa Umno akan mati di bumi Johor.

“Pemimpin Umno sedar benda ini, pemimpin Umno tak boleh nak bercakap maka anak arwah ‘Mat Bulat’ (Muhamad Rahmat), Ketua Umno Bahagian Pulai bercakap.

“Dia kata apa, ‘DAP jangan ingat orang Umno akan undi PH, dengan syarat DAP kena gugur Malaysian Malaysia,” katanya.

Tambahnya, sejak penubuhan DAP selepas pengusiran Singapura daripada sebagaian Malaysia, parti itu kekal dengan prinsip Malaysian Malaysia dan tidak pernah berganjak.

“DAP dan PAP adalah daripada uri yang sama, PAP, Tunku (Abd Rahman) dulu dah nampak dah benda ini, dikurniakan Tuhan ‘kasyaf’ dia nampak, maka dia keluarkan Singapura. Maka penyokong PAP di semenanjung hantar Lim Kit Siang, hantar Chen Man Hin, hantar Dr Devan, buka DAP.

“DAP asas penubuhan dia ialah Deklarasi Setapak 1967. Sampai hari ni dia punya sombong, dia tak menyorok pun, dia letak dalam website dia Deklarasi Setapak.

“Ayat pertama Deklarasi Setapak menentang Malaysia yang ada sistem kelas masyarakat, apa maksud kelas tu? maksud dia ialah ada Melayu bumiputera dan ada bukan bumiputera,” katanya.

Sedangkan kemerdekaan dicapai melalui pemberian kerakyatan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, katanya lagi.

“Ke a ingat Malaysia ini merdeka, adalah antara negara-negara yang sedikit dalam dunia kita terima semua orang sekali, bagi warganegara kita terima.

“Dan kita telah sama membina Malaysia sampai ke tahap ini, tapi DAP tak pernah menggugurkan tuntutannya Malaysian Malaysia, maksudnya Malaysia sama rata, orang Melayu, tak Melayu, apa bangsa, tak ada istilah bumiputera,” kata Badrul lagi.

Facebook
Twitter
WhatsApp