PUTRAJAYA, 2 Okt 24 – Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan parti UMNO telah mengkhianati perjuangan terdahulu dan kini menjadi sebuah parti yang mementingkan wang.
Mengulas dalam satu entri semalam di akaun X, Mahathir berkata perjuangan UMNO ketika ini sudah bertukar menjadi perjuangan untuk mendapat ganjaran sungguhpun terpaksa menyokong dasar yang bertentangan dengan tujuan parti.
” Tetapi sekarang perjuangan parti yang bernama UMNO sudah bertukar. Sekarang perjuangan ahli dan pemimpin ialah untuk mendapat ganjaran. Biarlah tanah pusaka ini tidak lagi dimiliki oleh orang Melayu asalkan ahli UMNO dapat RM30,800 sebulan sebagai ahli dewan.
“Yang penting hanyalah duit.
“Jika perlu sokong dasar yang bertentangan perjuangan UMNO, jika perlu sokong musuh, sokonglah. Kata Mahathir.
Mahathir mengingatkan kembali sejarah UMNO yang ditubuhkan untuk melawan penjajah menerusi penentangan terhadap Malayan Union demi memelihara hak orang Melayu.
“UMNO ditubuh sebagai jentera untuk melawan cadangan Malayan Union British. Cadangan British itu akan menghapuskan Tanah Melayu sebagai tanah yang dimiliki oleh orang Melayu.
“British akan terima siapa sahaja sebagai warganegara seperti keadaan di Singapura dan Pulau Pinang. Dengan itu Malayan Union tidak lagi menjadi Negara orang Melayu.
Tambah Mahathir, kerana ingin mengekalkan pemilikan Tanah Melayu, orang Melayu bersatu dalam UMNO hingga berjaya menggugurkan Malayan Union.
“Tidak terlintas di hati ahli dan pemimpin UMNO waktu itu untuk “cari makan” dengan menyertai UMNO.
“Mereka berjuang untuk bangsa, Negara dan agama. Untuk tujuan ini mereka sanggup korban apa sahaja.
“Kalau dahulu UMNO menang 80-90 kerusi sekarang UMNO (PRU15) menang hanya 26 kerusi.
“Apa perjuangan 26 wakil rakyat ini? Soal Mahathir kepada wakil rakyat UMNO. – malayadaily.com