TERKINI

UNITAID Beri Amaran, Hampir Sejuta Kematian Menjelang 2035 Akibat TB Jika Pencegahan Tidak Dijalankan

Gambar hiasan – foto United Nations News

NEW YORK, 21 Julai 2023 – Agensi dibawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Inisiatif inovasi kesihatan (UNITAID) pada Rabu memberi amaran bahawa kegagalan untuk melaksanakan pengesanan dan pencegahan kontak tuberkulosis (TB) boleh menyebabkan hampir sejuta kematian menjelang 2035.

UNITAID menegaskan bahawa pelaksanaan strategi gabungan iaitu mengenal pasti kontak rapat dan menyediakan rawatan pencegahan TB, merupakan langkah yang berkos efektif, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Langkah itu mampu mengurangkan 35 kematian dalam kalangan kontak pesakit dan penghidap HIV dalam tempoh 12 tahun akan datang.

Kajian bersama UNITAID, Universiti John Hopkins di Amerika Syarikat dan Institut Aurum itu mendapati strategi ini boleh menyelamatkan 850,000 nyawa menjelang 2035, yang kebanyakannya mungkin dalam kalangan kanak-kanak memandangkan kadar identifikasi rendah semasa bagi yang berumur di bawah 15 tahun.

Menurut kajian itu, kegagalan untuk melaksanakan gabungan intervensi ini akan mengakibatkan hampir sejuta kematian menjelang 2035.

“Pada masa ini, terlalu ramai ahli keluarga mereka yang didiagnosis dengan TB tidak mendapat rawatan mengakibat banyak nyawa terkorban,” kata ahli fakulti di Johns Hopkins, Tess Ryckman.

TB kekal sebagai penyakit berjangkit yang menyebabkan kematian tertinggi di dunia walaupun ia boleh dicegah dan disembuhkan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kira-kira satu perempat daripada penduduk dunia dijangkiti TB dan berisiko menyebarkan penyakit aktif, menyebabkan penyakit yang teruk.

Selepas beberapa siri rundingan yang diketuai oleh UNITAID, kos rawatan berkurangan lebih 70 peratus sejak 2017, menjadikan penyakit itu lebih mudah dicegah dan diubati.

Selain kos berpatutan, rejimen rawatan baharu yang lebih pendek bermakna jangkitan TB boleh disekat, sebelum berkembang menjadi penyakit aktif, menurut UNITAID.

Kajian mendapati penyediaan 3HP, kursus rawatan selama 12 minggu, boleh menghasilkan anggaran pengurangan 13 peratus dalam bilangan kontak yang menghidap TB.

Sempena Mesyuarat Peringkat Tinggi PBB kedua mengenai TB pada September ini, UNITAID menggesa komitmen dan sokongan kewangan segera dalam pencegahan penyakit dan kematian akibat TB. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp