TERKINI

Usahawan B40 Digalakkan Memanfaat Tawaran SSM Daftar Perniagaan Percuma – KPDN

Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma

KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2023 – Peniaga dan kumpulan usahawan B40 digalakkan untuk memanfaatkan inisiatif Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) ditawarkan kerajaan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata jumlah perniagaan yang berjaya didaftarkan secara percuma melalui SPPP bermula 1 Januari 2023 sehingga 31 Julai 2023 adalah sebanyak 26,410 perniagaan.

“Sementara itu, baki peruntukan geran SPPP sebanyak RM6 juta boleh memanfaatkan lebih 80,000 usahawan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Amrizan berkata SPPP merupakan inisiatif diperkenalkan SSM untuk memberi peluang kepada golongan usahawan kumpulan B40 serta pelajar institut pengajian tinggi sepenuh masa untuk mendaftarkan perniagaan mereka di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 secara percuma.

Selain itu, SSM juga telah menganjurkan dua siri Program Bimbingan Usahawan (PBU) tahun ini, iaitu di Pahang dengan penglibatan lebih 400 orang peserta manakala 1,000 peserta di Selangor. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp