TERKINI

Wira PUTRA Kecam Kerajaan Selangor, Dakwa Abaikan Kepentingan Rakyat

12 Jan — WIRA PUTRA mengecam keras Kerajaan Negeri Selangor kerana meneruskan projek penternakan babi berskala besar walaupun berdepan bantahan awam yang meluas dan kebimbangan serius berkaitan kesihatan, alam sekitar, serta keharmonian sosial.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Pemangku Ketua WIRA, Dr. Mohd Izwan Zainal, menegaskan pendekatan kerajaan negeri mencerminkan tadbir urus yang terpisah daripada realiti rakyat biasa. Keputusan dibuat di “bilik berhawa dingin”, tetapi kesannya termasuk risiko kesihatan, pencemaran alam sekitar dan ketegangan sosial yang ditanggung oleh komuniti luar bandar yang tidak diberi ruang suara sebenar.

Menurut Dr. Mohd Izwan, Kerajaan Negeri tidak boleh terus berlindung di sebalik istilah teknikal seperti Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), teknologi hijau atau kawalan moden untuk mempertahankan keputusan yang pada asasnya tidak adil. Beliau menekankan, sekiranya projek ini benar-benar selamat dan bersih, ia sepatutnya dibina berhampiran kediaman pihak yang meluluskan projek tersebut.

“Selangor bukan medan ujikaji dasar yang cacat. Rakyat bukan bahan eksperimen, dan kampung-kampung tidak seharusnya dijadikan zon buangan untuk projek yang tidak diterima masyarakat. Apabila keuntungan hanya dinikmati segelintir pihak, manakala beban dipikul oleh rakyat, jelas berlaku kegagalan prinsip keadilan sosial,” tegasnya.

Dr. Mohd Izwan turut menekankan bahawa kaedah mewujudkan ternakan babi di kawasan terpencil tetapi masih didiami penduduk akan memberi impak ekonomi langsung. Nilai tanah penduduk akan merudum, memaksa mereka menjual tanah pada harga lebih rendah, sekaligus memberi peluang kepada pemodal atau penternak berkepentingan mengaut keuntungan secara tidak adil.

WIRA PUTRA menegaskan, kerajaan yang hilang legitimasi moral tidak boleh bergantung kepada kuasa semata-mata. “Kerajaan yang tidak peka terhadap sensitiviti rakyat, mencetuskan ketegangan sosial dan mengabaikan kesejahteraan awam sedang mempertaruhkan kepercayaan serta mandat rakyat,” katanya.

Dalam penutup kenyataan, WIRA PUTRA menggesa Kerajaan Negeri Selangor menilai semula pendiriannya, mendengar suara rakyat dan bertindak demi kepentingan kesihatan awam, keharmonian sosial, serta kelestarian jangka panjang negeri. Kegagalan berbuat demikian, menurut Dr. Mohd Izwan, hanya akan meningkatkan kemarahan rakyat dan terus menghakis keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan negeri. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp