KUALA LUMPUR, 27 Dis 2023 – Ibu bapa perlu cakna terhadap ancaman jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang dilakukan oleh pengantun atau lebih dikenali sebagai ‘groomer’.
Ini kerana menurut Pekerja Sosial Women’s Centre for Change (WCC), Asmar Hamariyah Ahmad Bakhari, pengantun seksual akan melakukan tindakan awal dengan menjalinkan hubungan dan meraih kepercayaan mangsa bagi tujuan jenayah seksual.
“Pengantunan ini merupakan satu kaedah yang digunakan oleh pelaku contohnya seperti pedofilia dengan menggunakan taktik untuk mendekati mangsa dengan membentuk hubungan, wujudkan kepercayaan, kasih sayang dengan mangsa.
“Apabila mangsa dah percaya dan rasa rapat jadi mudah bagi ‘groomers’ untuk ambil kesempatan terhadap mangsa bagi tujuan seksual.
“Berdasarkan kes yang dikendalikan oleh pihak WCC, kanak-kanak pada usia lebih muda lebih cenderung ketika ini sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menuntuk mereka untuk belajar di rumah dan menggunakan gajet lebih kerap. Mereka ketika ini lebih mudah terdedah kepada ancaman pengantun,” jelasnya.
Pada masa sama WCC turut mendedahkan data setakat Julai 2023 menunjukkan, hampir 7,000 kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan di seluruh negara.
Daripada data itu, terdapat penigkatan sebanyak 54 peratus berbanding 2018 iaitu tahun sebelum pandemik COVID-19, yang mana berdasarkan pemerhatian kes yang dikendalikan oleh WCC, mangsa mendedahkan berkenalan dengan pelaku menerusi platform media sosial.
Malah data yang dikongsikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejak tahun 2017 hingga 2021, lebih 94,000 kes membabitkan gangguan seksual kanak-kanak dilaporkan dilakukan secara dalam talian.
Justeru itu, ibu bapa mememainkan peranan penting dalam memahami tanda-tanda anak-anak diantun.
Antaranya termasuk berkurung dalam bilik dan perubahan sikap yang mendadak, aktif menggunakan media sosial tanpa kawalan, mula kerap menerima hadiah dan juga perlu berhati-hati terhadap individu yang terlalu baik dengan anak-anak.
“Kita (ibu bapa) perlu mewujudkan hubungan rapat dengan kanak-kanak dengan memberi kepercayaan kepada mereka dan percaya apa mereka katakan. Penting juga untuk mendengar luahan mereka dan ibu bapa perlu bersifat terbuka.
“Ibu bapa juga perlu pandai untuk kendali emosi masing-masing dan mengawal kemarahan. Beri anak-anak ruang dan peluang. Jika boleh, seeloknya berkomunikasi secara privasi bersama anak-anak untuk mereka meluahkan masalah mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam AWANI Pagi yang membincangkan topik: Memahami Pengantunan Seksual Kanak-Kanak pada Rabu. – Awani