TERKINI

Yusoff Rawther fail saman pemula – Peguam

foto arkib – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 5 Nov 24 – Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Muhammed Yusoff Rawther telah memfailkan afidavit menyaman kerajaan Malaysia memohon satu deklarasi pada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyatakan bahawa seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang menghalang mana-mana kes terkait dengan dadah atau pengedar dadah tidak dibenarkan jamin adalah tidak berperlembagaan.

Dalam satu kenyataan, Rafique dalam saman pemula tersebut berkata bahawa Yusoff Rawther menyatakan dia tergolong dalam pihak yang sepatutnya menurut keadaan kes boleh mendapatkan jamin kerana jaminan berada dalam kuasa mahkamah.

“Pada pengurusan kes hari ini, mahkamah memberi peluang kepada pihak kami untuk menjawab afidavit jawapan itu sebelum pengurusan kes selanjutnya pada 20 Jan 2025,”

“Pada masa yang sama kita juga failkan satu lagi permohonan di bawah kes yang sama iaitu permohonan soalan undang-undang samaada seksyen 41B berperlembagaan ataupun tidak, kerana menghalang budi bicara mahkamah dalam memberi jaminan ini.

“Ini persoalan rujukan ke mahkamah Persekutuan, kita nak minta mahkamah Persekutuan buat keputusan terus tanpa perlu memasuki mahkamah tinggi atau mahkamah rayuan atas keadaan sebab musabab ianya lebih ekonomikal dan ianya lebih pantas dan cepat dan ianya berkaitan dengan soalan perlembagaan yang mempunyai yang memang ada budi bicara dan kuasa dan bidang kuasanya oleh Mahkamah Persekutuan untuk tentukan, katanya kepada pemberita selepas prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Muhammed Yusoff yang memfailkan saman itu pada 27 Sept lepas memohon suatu deklarasi bahawa Seksyen 41B ADB 1952 yang menghalang mahkamah daripada menjalankan kuasa budi bicara dalam membenarkan jaminan kepada plaintif yang dituduh di bawah Seksyen 39B ADB 1952 adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Turut dimohon suatu perintah bahawa di bawah Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah, mahkamah mempunyai kuasa memberikan jaminan kepada plaintif yang dituduh di bawah seksyen itu dan suatu perintah susulan bahawa plaintif dibenarkan mengemukakan permohonan jaminan sementara pelupusan perbicaraan.

Pada 12 Sept lepas, Muhammed Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp