TERKINI

Zafrul Istimewa, Kalah PRU15 Tetap Jadi Menteri – Tun M

foto twitter tengku zafrul

KUALA LUMPUR, 12 Julai 2023 – Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz memiliki keistimewaan tersendiri sehingga membolehkan beliau dilantik sebagai menteri walaupun kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Malah, Mahathir berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang pernah mengecam beliau ketika menjadi menteri kewangan di bawah pentadbiran kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut kembali melantik Zafrul sebagai menteri dalam kabinetnya.

“Dia dilantik Muhyiddin jadi menteri kewangan dan dia dikecam Anwar sebagai menteri yang jaga bank dan bukan jaga rakyat.

“Walau kalah dalam pilihanraya umum ke-15 atas tiket Umno, Anwar, yang sebelum itu kecam Tengku Zafrul lantik dia jadi menteri sekali lagi. Kalau ikut Anwar, Tengku Zafrul ni memang tak layak jadi Menteri.

“Tetapi dia tetap jadi menteri. Mungkin ada ‘something special’ yang kita tak nampak lagi,” kata Mahathir, dalam kenyataan di laman media sosialnya.

Zafrul tewas di kerusi Parlimen Kuala Selangor kepada Pengarah Strategi Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pada pertandingan PRU15 lepas.

Mahathir berkata demikian sebagai balasan terhadap Zafrul yang sebelum ini meminta beliau mendedahkan individu yang ingin membuat pelaburan di negara.

Dakwanya, pelabur tersebut kemudian tidak melabur di negara ini sebaliknya memilih negara jiran selepas tidak mendapat layanan daripada menteri.

Media yang membuat laporan tersebut membuat kesilapan apabila mengatakan nilai pelaburan berkenaan berjumlah RM500 bilion, sedangkan kenyataan Mahathir merujuk kepada pelaburan bernilai RM500 juta.

“Zafrul kelihatan agak over-excited dengan laporan yang tidak tepat yang mengatakan bahawa saya bertemu pelabur yang ingin melabur sehingga RM500 billion.

“Laporan itu telah diperbetulkan sendiri oleh penerbit akhbar tersebut tanpa permintaan dari saya, dan kenyataan saya yang sebenar ialah pelaburan yang saya nyatakan adalah sebanyak ‘RM500 million’ telah dimuat naik mengganti laporan asal.

“Agaknya sebelum sempat akhbar itu lakukan pembetulan, Zafrul tanpa berlengah telah memuat naik di video di media sosialnya dengan memberi perincian bahawa RM309 bilion ialah pelaburan tertinggi setahun yang pernah didapati oleh Malaysia, dan di zaman saya jadi perdana menteri pun tak pernah dapat pelaburan mencecah RM500 billion,” kata Mahathir.

Malah, beliau juga menyindir Zafrul untuk menggunakan sifatnya yang mudah teruja untuk menarik pelaburan datang ke negara ini.

“Jika sifat over-excited Zafrul terhadap laporan yang tidak tepat itu terdapat juga di dalam dirinya ketika mencari dan mendapatkan pelabur ke Malaysia, saya yakin keadaan ekonomi negara yang kelam dan muram ini dapat di atasi.

“Kalau setakat buat pengumuman ada pelbagai cadangan dan tandatangan puluhan MOU berkait pelaburan tanpa keputusan yang muktamad tidak akan membangun ekonomi negara,” kata Mahathir.

Beliau sehubungan itu menggesa Zafrul untuk mendedahkan dan memperincikan pelaburan yang telah masuk dan dimuktamadkan di Malaysia sejak beliau dilantik sebagai menteri di bawah kerajaan Malaysia Madani.

“Ada orang yang tanya jika saya kenal siapa Zafrul. Saya bagi tau tak begitu kenal secara peribadi tetapi saya dengar cerita pasal dia termasuk dia menyanyi dalam kugiran sebelum pilihanraya ke-14 sokong kerajaan kleptokrasi.

“Selepas saya jadi perdana menteri ada pegawai saya minta supaya jangan ambil tindakan terhadap Zafrul walaupun ada usaha untuk buang dari CIMB.

“Saya kata kerajaan pimpinan saya tidak akan aniaya sesiapa kecuali jika dapat bukti kesalahan,” kata Mahathir lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp