TERKINI

Perlembagaan Iktiraf Hak Istimewa Melayu, Ram Karpal Diingatkan Perlembagaan DAP Pertahan Sekularisme – Peguam

Rafique Rashid – foto malayadaily

KUALA LUMPUR, 5 Julai 2023 – Peguam Rafique Rashid menjelaskan Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak-hak istimewa orang Melayu tetapi tiada hak istimewa diberikan kepada kaum lain.

Beliau menjelaskan, sehubungan itu kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung perkara itu adalah selari dengan Perlembagaan.

“Dari segi undang-undang dan Perlembagaan negara, hal-hal keistimewaan Melayu, kalau dilihat artikel 153 diberi keistimewaan kepada Melayu tetapi menjaga hak kaum lain, tak kata 153 tak khusus, 153 khusus, maknanya Melayu ada kelebihan berbandingkan dengan kaum lain.

“Ramai komen mengatakan Tun salah tafsir Perlembagaan , antaranya timbalan menteri undang-undang, Ram Karpal Singh, dia kata konsep difahami Tun salah.

“Kalau hak kesamarataan dicanangkan perkara 8 Perlembagaan dipetik untuk hak sama rata, tetapi kena faham artikel 8 tertakluk kepada Perlembagaan ini. Baca artikel 8 hak sama rata bersama hak istimewa Melayu artikel 153. Kalau hak sama rata untuk semua kaum apa guna ada artikel 153,” kata Rafique.

Beliau sehubungan itu menggesa semua pihak yang berbeza pendapat berhubung perkara itu, perlu memahami intipati kenyataan Mahathir dengan jelas.

“Tiada langsung dalam Perlembagaan beri hak keistimewaan kepada kaum lain kecuali Melayu sebab sejarah negara kekuatannya diasaskan majoriti Melayu. Yang mendatang adalah Cina, India dan bangsa lain. Bila mereka datang mereka tak dapat automatik hak istimewa.

“Saya gesa semua pihak yang terasa meloncat sebagainya faham betul-betul intipati kenyataan Mahathir, konsep Perlembagaan dan sejarah negara tertubuh dan bagaimana akhirnya pendiri negara sebelum ini dengan merujuk kepada laporan Suruhanjaya Reid.

“Untuk lahirnya Malaysia Merdeka kena ada Perlembagaan. Jadi Suruhanjaya Reid masukkan hak istimewa Melayu dan bumiputera Sabah Sarawak, kena faham itu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Ram Karpal, partinya sendiri iaitu DAP tidak mempunyai peruntukan khusus untuk mempertahankan Islam dan kedudukan Melayu di negara ini.

Malah, Rafique mendakwa Perlembagaan DAP jelas mempertahankan sekularisme.

“Kalaulah timbalan menteri menyatakan tafsiran Mahathir salah, sila lihat dalam parti beliau, Perlembagaan DAP nak pertahankan sekularisme, nak bawa Perlembagaan kepada sekular. Itu tak diizinkan. Dokumen tertinggi negara adalah berdasarkan kemelayuan

“Kalau nak nyatakan hak sama rata, DAP akan pastikan agama rasmi tak diubah, ada tak dalam perlembagaan DAP mempertahankan agama Islam, mempertahankan hak Melayu? tidak ada,” kata Rafique.

Malah, beliau juga merasakan prinsip sebenar bukanlah ketuanan Melayu, tetapi keutuhan Melayu yang mana berlakunya perkongsian dalam pelbagai perkara antara orang Melayu dan kaum lain, seperti perjawatan dalam kerajaan.

“Saya lebih tekankan prinsip keutuhan Melayu daripada ketuanan Melayu. Kalau ketuanan Melayu maknanya Melayu kawal semua, contohnya dalam penjawat awam tiada kaum lain, tapi di Malaysia tidak.

“Ada jawatan peratusnya Melayu lebih daripada bangsa lain, tapi ketua setiausaha untuk mana-mana kementerian boleh sahaja ada Cina, kalau ketuanan Melayu itu lain, tetapi itu tak berlaku dalam Malaysia,” kata Rafique.

Sebaliknya, beliau berkata walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan hak istimewa kaum lain seperti mana hak Melayu dan bumiputera, kedudukan bangsa lain tetap dijamin sebagai rakyat negara ini.

“Dalam Perlembagaan bacalah, dia beri hak istimewa kepada Melayu tapi menjaga hak bangsa lain, itu yang timbalan menteri undang-undang boleh faham,” tambahnya lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp