
Telinga kita jadi bingar bila mendengar perkataan 3R. Mata kita terbeliak bila membaca perkataan 3R. Kita merasa mual dan hendak muntah bila ada saja politikus dan apparatchik Madani bersuara tentang 3R ini.
Sebutan 3R ini dalam bahasa Inggeris – Royalty, Religion dan Race – raja-agama-bangsa. Sepatutnya menjadi RAB dalam bahasa Melayu. Tetapi Bahasa Melayu di ketepikan.
Ini taktik sama seperti United Malays National Organisation menggunakan perkataan UMNO. Parti boneka Inggeris ini menggunakan nama dalam Bahasa Inggeris tidak nama dalam Bahasa Melayu. Kunun ini hebat boleh klim lulusan Oxfart atau Cumbris.
Sebenarnya ada projek yang lebih besar di belakang heboh-heboh 3R ini. Ada rancangan licik dalam penggunaan perkataan yang bukan berasal usul dari bahasa Melayu ini.
Kita dilarang bercakap hal 3R. Selalu kita dengar Pak Menteri dan macai Madani bersuara melarang kita menimbulkan 3R. Polis juga berkali-kali bersuara melarang 3R.
Kita juga membaca para penyokong Anwar Blackrock telah membuat laporan polis atas tuduhan ke atas Si Polan dan Si Polan yang terlibat dalam 3R. Penyokong Anwar Blackrock mendesak sesiapa saja yang terlibat dalam 3R wajib di tangkap, didakwa dan di bawa ke mahkamah.
Apa sebenarnya ini?
Jawabnya mudah saja. Perkataan 3R digunakan dan bukan perkataan Raja Agama atau Bangsa untuk tujuan jahat. Mak Cik dan Pak Cik Felda tidak faham sangat bahasa Inggeris. Lebai Sudin dan Kak Kiah pun tidak juga faham tentang larangan 3R.
Kepala bana apa 3R ini?
Bayangkan jika perkataan Raja Agama dan Bangsa dilarang penggunaan pasti Bani Melayu akan terperanjat besar. Mak Cik Felda akan bertanya : Apa dah jadi dengan Melayu ?
Ustad YouTube dan para pendakwah akan terperanjat. Jika agama dilarang disuarakan maka apa tugas alim ulama dan pendakwah. Apa yang hendak para Ustad sampaikan kepada ummah dalam YouTube atau di surau.
Penyokong raja juga akan marah. Apakah Melayu sudah tidak beraja lagi. Jeng jeng jeng.
Tapi dalam tulisan ini ada satu lagi perkara yang terpendam lagi tersorok dan amat penting yang hendak saya sampaikan. Perkara ini berkait rapat dengan 3R.
Ada projek racun sembilu yang sedang disediakan. 3R ini hanya pembuka selera.
Pada hemat saya perkara jahat ini dengan licik sedang dirancang. Saya mengeluarkan pandangan ini hasil dari pengamatan dan pembacaan saya. Saya merasa yakin ada sesuatu sedang dirancang.
Saya membuat rumusan sedemikian kerana fakta ilmiah berasaskan hukum hakam. Hakikatnya 3R ini tidak wujud. Larang 3R ini larangan dongeng. Tidak ada akta dan tidak ada undang-undang yang melarang warga untuk bercakap tentang agama, raja atau bangsa.
Konsep 3R ini wujud apabila Anwar Blackrock cuba mendirikan kerajaan. Awalnya dia gagal kerana tidak cukup sokongan YB. Akhirnya Anwar Blackrock berjaya menubuhkan kerajaan ini melalui titah Yang DiPertuan Agong. Justeru sesudah PRU15 – dari fakta sejarah – kerajaan ini ialah Kerajaan Titah bukan Kerajaan Rakyat dipilih melalui undi.
Kemudian Kerajaan Titah ini mengklim sebagai Kerajaan Perpaduan. Diheboh dan dicanang seantero dunia bahawa kerajaan Anwar Blackrock ini sebagai Kerajaan Perpaduan.
Hakikatnya kerajaan Anwar Blackrock ini goyah. Justeru bila timbul saja kritikan dari pihak pembangkang atau sesiapa sahaja maka nama Raja, nama Sultan dan nama Agong telah digunakan untuk menupang kerajaan yang goyah ini.
Maka dari sinilah muncul 3R. Inilah latar kemunculan 3R. Dari fakta inilah akan muncul satu lagi projek baru yang lebih jahat dan ganas dari 3R. Apa projek ini ?
Untuk memahami apa yang sedang dirancang oleh Anwar Blackrock saya membawa pembaca kembali ke era zaman kolonial. Di zaman sebelum Inggeris meninggalkan kuasa kepada United Malays National Organisation. Ini sebagai latar belakang sejarah untuk kita sesama memahami apa yang berlaku sekarang.
Adalah bohong lagi temberang bila Tunku Abdul Rahman berkata : Kemerdekaan kita capai tanpa tumpah darah. Ini ucapan pelesit dari anak didik Inggeris.
Jangan lupa siapa Pak Sako, siapa Rashid Maidin, siapa Shamsiah Fakeh, siapa Abdullah Sidi, siapa Chin Peng dan siapa Mokhtaruddin Lasso.
Apa peranan Burhanuddin Hilmi dan apa peranan Sheikh Abu Bakar al-Bakir. Jangan lupa PKMM – Parti Kebangsaan Melayu Malaya. Jangan lupa AWAS – Angkatan Wanita Sedar. Jangan lupa API – Angkatan Pemuda Insaf. Jangan lupa PKM – Parti Komunis Malaya.
Jangan lupa peranan Parti Komunis Malaya memimpin gerakan gerila mengangkat senjata melawan penjajahan Jepun. Jangan lupakan peranan perjuangan bersenjata membebaskan Tanah Melayu dari Inggeris yang dipimpin oleh PKM bersama para nasionalis kiri Melayu.
Tanpa perjuangan bersenjata para nasionalis melawan Inggeris – Tunku dan kuncu-kuncu dari United Malays National Organisation tidak akan dipilih oleh Inggeris untuk dijadikan boneka.
Semua ini fakta sejarah bukan penglipur lara dari Hishamuddin Rais.
Saya menimbulkan perkara- perkara di atas untuk memberi latar belakang tentang projek jahat yang sedang dirancang sekarang. Kita wajib memahami yang lalu untuk sedar yang sekarang dan bersedia dengan yang akan datang.
Satelah Inggeris berundur pada tahun 1957 muncul Parti Buruh dan Parti Rakyat. Dua parti nasionalis yang mengambil garis kiri ini telah bergabung untuk menubuhkan Sosialis Front atau Barisan Sosialis.
Ketika itu – di zaman ini – garis nasionalis progresif dan garis kiri kuat dan mengampuh. Setiap kali diadakan pemilihan Majlis Tempatan sosok-sosok dari Parti Buruh dan Parti Rakyat akan menang. Pekan-pekan besar seperti Melaka, Johor Baru, Pulau Pinang, Ipoh dan Kuala Lumpur pasti akan dimenangi oleh parti-parti ini.
Kekuatan ombak progresif kiri ini menjadikan pentadbiran United Malays National Organisation dan Perikatan goyah. Benggolan boneka Inggeris tidak selesa menjalan tugas untuk Tuan Mat Salleh mereka di No 10 Downing Street.
Justeru 3 tahun sesudah Inggeris mengundur kerajaan Perikatan di bawah pimpinan Tunku masih lagi goyah. Hakikatnya kerajaan boneka Inggeris ini wajib dibantu. Ini kerana Tanah Melayu adalah sumber ekonomi terpenting untuk Britain. Sesudah Perang Dunia Ke Dua 60% pendapatan ekonomi British dibantu oleh getah dan bijih timah dari Tanah Melayu.
Pada tahun 1960 Tuan Mat Salleh dari White Hall dan dari Downing Street telah menghantar ajen mereka Reginald Hugh Hickling untuk membuat undang-undang yang kita kenali sebagai ISA – Internal Security Act atau Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Sejarah Akta ISA ini kita semua ketahui. Justeru kenapa saya timbulkan tentang akta yang telah dihapuskan oleh Najib Razak pada tahun 2011.
Jawabnya mudah. Saya timbulkan perkara Akta ISA ini kerana sejarah sedang berulang. Suasana politik tahun 50’an dan 60’an sedang berada di hadapan kita sekali lagi.
Pada tahun 1960 kerajaan Perikatan Tunku goyah dihambat oleh ombak progresif kiri Parti Rakyat dan Parti Buruh yang dibantu juga oleh ombak nasionalis Islam dari PMIP – Pan Muslim Islamic Parti.
Pada tahun 2023 hingga ke hari ini kerajaan Madani terus goyah. Bani Melayu dan umat Islam menolak Anwar Blackrock. Dalam tahun 60’an bandar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Seremban dan Johor Baru dimenangi oleh Sosialis Front. Pada tahun 2022 kesedaran Melayu dan kesedaran Islam di bawah Parti Pas telah mengambil negeri Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Apabila kerajaan Perikatan goyah Akta ISA telah digunakan untuk melawan musuh politik Tunku. Lihat bagaimana pada tahun 1964 Akta ISA membantu pengharaman pemilihan Majlis Tempatan.
Menghapuskan pemilihan Kerajaan Tempatan ini adalah jalan terbaik untuk menyelamatkan Tunku dan kuncu-kuncunya.
Persamaan suasana politik dulu dan sekarang amat jelas. Kerajaan Tunku goyah. Rakyat ditakut-takutkan dengan pengaruh komunis dan pengaruh sosialis.
Kerajaan Madani goyah terumbang ambing. Anwar Blackrock sedar bahawa ketika ini kesedaran Melayu dan kesedaran Islam sedang mengampuh. Justeru rakyat ditakut-takutkan dengan 3R.
Walhal 3R bukan akta, bukan undang-undang. Hanya cara untuk menakut-nakutkan orang ramai terutama mereka yang tidak menyokong Anwar Blackrock dan kerajaan Madani.
Jika suasana politik hari ini berterusan maka kerajaan Madani tidak boleh bertahan. Kerajaan Awar BlackRock ini akan runtuh. Serangan dari luar makin ampuh. Dalam masa yang sama serangan dan kecamukan sesama sendiri dalam parti gabungan kerajaan Madani makin membesar.
Serang menyerang tuduh menuduh antara DAP dengan UMNO dan antara PKR dengan UMNO dan juga dengan AMANAH sedang dilihat oleh orang ramai.
Kerajaan yang klim sebagai kerajaan Perpaduan dilihat orang ramai sebagai kerajaan tidak bersatu padu.
Dalam masa yang sama di dalam PKR sendiri sedang berlaku pergeseran sengit antara Anwar Blackrock dengan Rafizi Formula. Orang ramai juga membaca dan bertanya kenapa Saifuddin Nasution dimalukan dalam kes jam tangan, kes anak kahwin di Golok dan kes Demo Lawan Rasuah.
Suasana goyah dan kacau ini sama seperti kacau dan goyah dalam kerajaan Perikatan Tunku. Untuk selamat ISA didatangkan. Dalam nada yang sama pada hemat saya untuk terus menjadi Perdana Menteri dan terus berkuasa Anwar Blackrock akan mendatangkan sekali lagi ISA. Kali ini ISA 2.0.
Pada hemat saya Anwar BlackRock tidak ada jalan lain untuk membocorkan, menangkis dan memusnahkan ombak ampuh kesedaran Melayu dan kesedaran Islam. Sama seperti Tunku yang tidak ada jalan lain untuk memadam gerakan sosialis dan nasionalis Islam kiri. Hanya ISA 2.0 akan dapat menyelamatkan Anwar Blackrock.
Justeru Reginald Hugh Hickling baru yang tidak berkulit putih akan diupah untuk membuat Akta Keselamatan Baru.
Mustahil? Semua ini adalah fitnah Hishamuddin Rais. Mustahil Akta ISA ini akan dimunculkan kembali.
Sabar dulu Bro !
Ketika tulisan ini digarap proses mengolah persetujuan sedang berlaku. Tidak percaya sila tunggu sambungan minggu hadapan. Amin. (TT)
Rencana ini juga disiarkan di sini.
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com