(Nota: Saya harap saya juga tidak akan dipanggil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman)
SAYA buntu. Macam-macam perkara berlaku dalam negara ini. Tanah air seperti dilanda gempa bumi amat dahsyat.
Sepanjang saya bergelumang dalam circle politik sebagai wartawan kanan dan pemerhati politik lebih 30 tahun, inilah situasi yang paling saya takut, keliru dan rimas perut.
Semuanya sudah seperti terbalik. Semua orang sudah mula bercakap mengenai munafik. Cakap lain buat lain. Malah Ahmad Maslan boleh keluarkan kenyataan ahli UMNO sudah boleh undi DAP? Betulkah apa yang dia cakap? Pejam celik, pejam celik mata saya, seperti tak percaya.
Dewan Merdeka yang pernah saya buat liputan Perhimpunan Agung UMNO sejak zaman Tun Mahathir, Pak Lah, Najib, Muhyiddin telah berubah 360 darjah. Laungan Tolak Anwar, Tolak DAP kini telah “diputihkan”.
Saya tak pasti sama ada putih itu bererti baju seragam DAP atau abangnya PAP Singapura, atau membawa erti kain kapan; sebagaimana diseloroh oleh salah seorang kawan saya.
Dasar, perjuangan, falsafah UMNO hancur gara-gara pertunjukan itu. Adakah ahli-ahli UMNO akan masih bersama parti itu? Itu kena tanya Ahmad Maslanlah. Dia kan bekas pelajar terbaik.
Oleh itu, jika benar firasat saya ini. Maka, PRU16 akan datang hasilnya akan jadi lain. Kerajaan lain pula akan naik.
Saya harap jika kerajaan lain naik, janganlah ikut cara PMX ini berkuasa. Setiap hari, setiap malam dia bercakap pasal korupsi, nepotisme, kronisme — seperti dia itu bersih seperti kain kapan juga.
Dia cakap pun “tak serupa bikin”. Jika dia nak tangkap orang ini, orang itu, Tan Sri ini, Tun itu — kenapa SPRM tak mahu buka semula kes SD Datuk Murad Khalid; yang dipergunakan semau-maunya semasa PMX menjadi TPM dan Menteri Kewangan di zaman akhir 90an dulu?
Tujuan saya tulis ini bukan nak salahkan orang itu, orang ini waima PMX pun. Tapi ia telah mengganggu pemikiran saya dan mungkin juga rakyat jelata keseluruhannya.
PMX patut selesaikan soal rakyat. Saya pun peminjam bank. Jika OPR naik saya pun terkesan. Anak-anak kita yang baru belajar membeli kereta dengan wang gaji yang kecil pun akan terkesan.
Orang Cina yang menyokong PMX dan PH pun naik angin gara-gara OPR ini. Mereka antara golongan terbesar yang meminjam wang dengan bank.
Itupun tak boleh nak selesaikah? Adakah pengumuman nak tangkap orang itu dan orang ini semata-mata mahu “divert” atau kalih perhatian daripada isu rakyat itu?
Itu saya tak tahulah. Tapi ramai yang berkata sedemikian. Apapun rakyat sudah tak peduli dengan cerita-cerita rasuah ini. Mereka sudah bosan. Malah Najib Razak sudah mulai disanjung semula.
Sekurang-kurangnya Najib antara “PM yang buat kerja” semasa beliau memerintah. Infra negara berjalan rancak. Jika bukan isu 1MDB, negara Malaysia kini antara yang terbaik selepas Tun Mahathir. Itu pendapat sayalah. Siapa nak kutuk, kutuklah.
PMX sudah lebih 6 bulan (5 bulan 25 hari) memerintah. Rimas perut dibuatnya.
Siang tadi saya bersolat Jumaat di Masjid Shah Alam terkejut ada demonstrasi isu kalimah Allah. Polis penuh keliling masjid. Saya pula jadi takut. Isu itu pun tak boleh diselesaikan. Macam-macam versi keluar.
Puak penyokong PMX guna macam-macam formula nak tegakkan benang yang basah. Saya bertanya jika kerajaan yang buat keputusan itu bukan kerajaan PH, apa pula penyokong PH nak kata? Adakah mereka akan turun ke jalan pakai baju kuning Bersih buat demo yang sama?
Negara kita kini benar-benar nazak. Negara-negara lain sedang mentertawakan kita.
Dalam dua tiga bulan lagi PRN akan berlaku. Enam negeri akan menjadi pertaruhan. Jika melihat trend sekarang habislah PMX.
Silap-silap kubu kuat PKR, Selangor pun akan terlingkup. Negeri Sembilan pun akan terbalik. Jika orang Cina semakin marah dengan situasi ini, DAP pun kemungkinan akan hilang 2/3 undi Cina.
Semasa saya menulis Cuit ini, saya melihat satu video pendek parody (lawak politik) seorang berbangsa Cina, TheDouglasLim bertajuk Penat Macam Xial.
Saya tak taulah kenapa ejaan Sial jadi Xial. Adakah beliau bermaksud X itu 10 atau PMX!
Benar kata Douglas. Kita semua dah penat. Rakyat dah penat. Orang Cina pun mungkin sudah penat. Mungkin keyakinan pengundi Cina pun dah mula hilang.
Jika negara ini boleh bercakap. Dia pun akan menjerit “AKU DAH PENATLAH XIAL…!”
Zaini Hassan
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com