Setiap kali isu mengenai kegagalan kerajaan dibangkitkan setiap kali itu jugalah pelbagai penganalisa akan bangkit bak cendewan lepas hujan. Dan sasaran penganalisa-penganalisa ini tidak lain tidak bukan Dr M.
Kali ini apabila timbul isu kononnya perpecahan orang Melayu, nada yang sama dibangkitkan. Penulisan FMT bertajuk “Dr M punca perpecahan orang Melayu” dan dua penganalisa mengulas.
Kedua penganalisa ini menyorot tiga insiden unuk menghujahkan bahawa segalanya berpunca dari Dr M. Kata mereka ini terbukti dari insiden pemecatan Anwar sebagai TPM pada 1998, isu pengharaman UMNO sehingga tertubuhnya Semangat 46 dan akhir sekali penubuhan Bersatu sekitar tahun 2017.
Mereka menyatakan pada setiap insiden ini, puncanya Dr M dan oleh itu Melayu berpecah kerana beliau.
Harus dinyatakan, tugas penganalisa bukan hanya menyatakan sesuatu tetapi ianya mesti beralaskan fakta. Kalau setakat buat kenyataan tanpa fakta, lebih mirip cytro pentaksub bukannya yang terpelajar.
Fakta yang tidak dapat dinafikan adalah UMNO diharamkan oleh Mahkamah Agung pada tahun 1987. Tetapi krisis dalaman yang babitkan Musa Hitam dan beberapa individu lain ini dapat diselesaikan dengan penubuhan semula UMNO sehingga Negara berada di landasan terbaik mencapai kemajuan.
Malah pasca 1987 Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang sangat rancak kerana Negara ditadbir adunan pimpinan baik dari pelbagai kaum yang diterajui oleh parti Melayu yang stabil dan kuat yakni UMNO dibawah pimpinan DrM.
Tanya sahaja sesiapa , mereka akan nyatakan zaman keemasan ekonomi Malaysia adalah lewat 80-an sehingga tahun 2003.
Kemudian timbul pula isu 1998. Penganalisa yang dipetik FMT menyatakan krisis pemecatan Anwar Ibrahim menghasilkan perpecahan sehingga PAS memenangi banyak kerusi.
Tetapi siapa pecat Anwar Ibrahim? Bukankah yang bersetuju lucut jawatan Timbalan Presiden dan keahlian UMNO Anwar Ibrahim adalah Majlis Tertinggi UMNO?
Bukankah keputusan ini dibuat selepas mesyuarat? Bukankah yang ada dalam mesyuarat itu masih hidup? Mengapa penganalisa tidak bertanya pada Dato Ibrahim Ali? Rafidah Aziz? Shahidan Kassim? Zahid Hamidi? Najib Razak? Kadir Syeikh Fadzir? Shahrizat Jalil? Ramai lagi yang masih ada, mungkin mereka boleh ceritakan apa sebenarnya berlaku dalam mesyuarat tersebut.
Pokoknya, jelas Anwar Ibrahim dipecat hasil keputusan bersama UMNO kerana masalah kelaku moral dan salahguna kuasa Anwar Ibrahim.
Bagaimana pula ini salah Dr M? Adakah bila kepimpinan tinggi kalangan orang Melayu salah dari segi moral dan undang-undang ianya mesti disapu bawah karpet?
Kemudian, penubuhan Bersatu. Bagaimana dikatakan Bersatu ini pecah belahkan orang Melayu? Lupakah penganalisa berdua tujuan utama Bersatu ditubuhkan pada 2017?
UMNO pada waktu itu mula digunakan untuk individu dan sokongan pada Presiden membabi-buta walaupun jelas Presidennya salahguna kuasa dan jawatan Perdana Menteri.
Tidak malukah penganalisa seolah cuba pertahan bahawa penubuhan Bersatu adalah punca perpecahan.
UMNO telah lari dari asas parti Melayu pada masa itu dan tanpa parti melayu yang baru tidak mungkin Kerajaan dapat dibentuk.Tanya sahaja pada PH( DAP, PKR, Amanah), mampukah tubuh Kerajaan pasca PRU-14 tanpa Bersatu, parti Melayu ?
Akhirnya terbukti bila Mahkamah dapati Najib Razak bersalah. Ini bukti UMNO sudah rosak masa itu dan perlu ditukar.
Sebenarnya Dr M bukan pemecah orang Melayu. Beliau ikon penyatuan orang Melayu. Kalau tidak mengapa sehingga hari ini beliau relevan?
Kalau Dr M pemecah Melayu buat apa Dr M bersungguh -sungguh mohon Melayu bersatu, tanpa kira parti politik, apabila asaskan Proklamasi Orang Melayu?
Kalau Dr M pemecah Melayu mengapa sehingga hari ini menulis dan buat kenyataan ingatkan orang Melayu hak mereka di Tanah Melayu?
Maka kalau dilihat pada peristiwa-peristiwa dalam lipatan sejarah politik negara jelas pada setiap persimpangan Dr M punca untuk penyatuan bukan perpecahan.
Suka atau tidak, itulah analisa-nya!
Rafique Rashid, Ketua Penerangan Pejuang
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com