Sekularisme adalah sebuah prinsip yang memisahkan institusi agama dari institusi pemerintahan atau urusan politik sesebuah negara. Dalam konteks ini, negara tidak berpihak kepada mana-mana agama, dan urusan agama tidak mencampuri pentadbiran negara.
Ciri-ciri utama sekularisme:
1.Kebebasan Beragama; Setiap individu bebas menganut, mengamalkan, atau menukar agama tanpa sebarang paksaan. Tiada agama diutamakan melebihi yang lain dalam undang-undang atau pentadbiran.
- Pengasingan Agama dan Negara; Agama tidak campur tangan dalam urusan politik atau pentadbiran negara, dan sebaliknya, negara tidak campur tangan dalam hal ehwal agama kecuali untuk memastikan keharmonian.
- Kesaksamaan; Semua agama dilayan sama rata oleh negara, dan undang-undang digubal tanpa berpihak kepada kepercayaan agama tertentu.
- Neutraliti Kerajaan; Kerajaan bersikap neutral terhadap semua kepercayaan agama dan memastikan pentadbiran berdasarkan prinsip rasional dan universal, bukan dogma agama.
Perlembagaan Persekutuan memeteraikan di bawah Artikel 3(1) Islam adalah agama Persekutuan; makanya Malaysia itu agamanya ialah Islam. Yang Di Pertuan Agong juga adalah Ketua Agama, begitu juga Sultan bagi setiap negeri masing-masing.
Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 11(4). berbunyi:”Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama antara orang yang menganuti agama Islam.”
Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan Kedudukan Istimewa Orang Melayu di bawah Artikel 153.
Prinsip sekularisme yang memisahkan agama daripada pentadbiran negara bertentangan dengan struktur dan identiti Malaysia. Sebagai contoh: Islam bukan sekadar agama rasmi, tetapi menjadi elemen utama dalam pentadbiran dan undang-undang negara.
Peranan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan sebagai Ketua Agama Islam sukar diselaraskan dengan prinsip sekularisme.Hak istimewa orang Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan bercanggah dengan konsep kesaksamaan mutlak yang diperjuangkan oleh sekularisme.
Pada hari ini, terdapat 30 peratus kumpulan yang mendukung sekularisme dan pluralisme dalam kerajaan. Perjuangan golongan ini seperti yang termaktub di dalam perlembagaan Parti Mereka ialah hendak mengubah Perlembagaan Malaysia kepada kerangka sekular yang asal, dengan matlamat: Menyamaratakan hak agama tanpa mempertimbangkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Mengubah struktur tradisional yang melibatkan Raja-raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu.
Kumpulan ini lah sebenarnya ancaman kepada kedudukan Islam dan orang Melayu, lebih-lebih lagi apabila mereka mendapat sokongan daripada sebahagian orang Melayu sendiri.
Malaysia bukan negara sekular. Islam, sebagai agama Persekutuan, mempunyai peranan istimewa yang jelas dalam sistem pentadbiran dan perundangan negara. Usaha untuk membawa kerangka sekularisme dilihat bertentangan dengan Perlembagaan dan berpotensi menggugat keharmonian serta identiti negara.
Azman Mohd Hashim SM
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com