TERKINI

Apa orang Melayu mahu?

Azman Mohd Hashim, penulis – malayadaily.com

Setiap orang Melayu yang lahir di tanah air ini mengetahui dan memahami, kepentingan kedudukan istimewa orang Melayu dan kesucian agama Islam yang menjadi identiti mereka.

Inilah yang menjadi dilema kepada pemimpin-pemimpin Melayu hari ini, apabila usaha untuk menyatukan orang Melayu bagi tujuan mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan agama dilihat amat sukar.

Mudah sahaja untuk kita merumuskan keadaan ini. Hari ini orang Melayu secara umumnya telah berpecah menjadi tiga kumpulan.

Pertama, kumpulan yang telah bosan dengan pemimpin-pemimpin Melayu sedia ada yang tidak berwibawa dan tanpa kredibiliti dan kualiti yang diharapkan.

Kedua, kumpulan yang mahu mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu lebih-lebih lagi agama Islam, namun mereka kebingungan tanpa arah dan tidak tahu siapa pemimpin yang mampu dan layak untuk mereka berdiri dibelakangnya.

Kedua-dua keadaan ini ialah akibat dari sejarah kebelakangan ini di mana pemimpin Melayu yang silih berganti semuanya menghampakan dan korup.

Modal “Bangsa Melayu dan Agama terancam” telah menjadi terlalu klise dan memualkan kepada sebahagian besar orang Melayu diluar sana, impaknya telah tidak kelihatan lagi. Kerana ianya telah digunakan berulang-ulang kali untuk sekian lama.

Hakikat tetap hakikat, klise atau tidak, jemu atau tidak, jika kita tidak mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan agama Islam. Masa depan anak bangsa akan kelam. Hanya penyatuan orang Melayu yang boleh mempertahankan semua ini.

Kepada pemimpin-pemimpin Melayu, tibalah masanya untuk menggunakan pendekatan yang lebih kontemporari sesuai dengan kondisi terkini. Bertanyalah kepada orang Melayu dengarkan apa aspirasi mereka demi penyatuan bangsa dalam usaha mempertahankan hak kita bersama.

Azman Mohd Hashim – SM

Facebook
Twitter
WhatsApp