Setiap parti mahu berkembang. Ia untuk memastikan survival dan pengaruh politik mereka berterusan. Proses pengembangan ini memerlukan kerja pengkaderan, tanpa adanya bakat muda, tak mungkin ada pelapis dan akhirnya tiadalah masa depan bagi sesebuah parti.
Melaksanakan tujuan pengkaderan ini memerlukan tarikan, tarikan yang dimaksudkan mestilah mengikut trend, yang sesuai dengan kehendak orang atau bakat muda.
Jika parti ini sebuah syarikat, mana-mana syarikat yang mahu memulih atau mengukuhkan jenama dan pengaruh mereka didalam pasaran, pasti akan memerlukan orang berbakat sebagai pengurus atau kakitangan.
Untuk menarik bakat-bakat baharu ini, suatu jalan yang realistik dan menarik, perlu disediakan. Ini yang akan dilakukan oleh mana-mana syarikat perniagaan.
Strategi politik DAP adalah seiring dengan strategi perniagaan. Pemimpin DAP kerap berseloroh, DAP kini bukan lagi kedai runcit, tapi hypermarket, bermaksud DAP perlu diurus dengan cara yang lebih efektif dan produktif.
Dalam konteks karier politik dikalangan orang muda, mereka cenderung untuk memilih bekerja terus dengan pemimpin parti, lebih-lebih lagi dengan pemimpin politik yang popular. Mereka yang mahu karier, tidak berminat menjadi pembawa beg Yb ke hulu ke hilir. Mereka mahu menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan.
Bagi orang muda, bekerja dengan tokoh popular, adalah suatu pencapaian peribadi yang membanggakan. Elemen ini menjadi tarikan tambahan untuk mereka terlibat dalam politik.
Selain parti memainkan peranan, pemimpin parti DAP seperti Wakil Rakyat (Adun atau MP) juga akan membimbing bakat-bakat muda ini. Pemimpin DAP nampak jelas akan ‘road map’ ini.
Wakil parti akan meyakinkan orang muda tentang ‘road to succes’ menerusi agenda parti dari jalur pemikiran politik mereka. Wakil ini adalah ‘sales person’ untuk orang muda yang dilihat berpotensi.
Modus operandi ini banyak peringkat, pelbagai ujian kemahiran diberikan, pendedahan dan latihan diluar negara juga ada. Semua ini dibentuk menjadi ekosistem yang lengkap.
Sistem pengkaderan politik DAP ini sedikit sebanyak adalah replika dari sistem pengkaderan PAS yang cukup kuat dengan tradisi usrah. Salah seorang pemimpin DAP, telah membuat kajian ini lama dulu. Hasil kajian itu sedikit sebanyak menjadi rujukan dan dijadikan satu sistem pengkaderan dalam organisasi.
Kerana itu kita lihat DAP tidak ketandusan bakat muda dan terus dapat mengukuhkan undi teras mereka sejak 2008 hingga kini. Begitu juga dengan PAS, kita terus melihat kekuatan parti itu melebihi UMNO dan lain-lain parti dalam konteks kekuatan akar umbi.
Sifir politik DAP berbeza dengan parti lain, mereka tidak begitu menumpukan untuk menambah ahli, kerana bagi DAP, undi lebih penting dari keahlian. Sebaliknya mereka menumpu kepada membimbing pemimpin akar umbi menerusi kerja latihan dan pengkaderan.
Ini berbeza dengan parti lain, yang gigih menambah seramai mungkin ahli yang akhirnya sumber parti akan banyak digunakan untuk mengurus ahli. Bukan itu saja, politik dalam parti akan menjadi lebih riuh rendah dan ini akan ‘consume’ lebih banyak masa dan tenaga bagi mengurus ahli yang ramai.
Dalam DAP, bakat muda diajar bagaimana ‘menjual’ isu, samada diperingkat kawasan atau nasional. Kelas-kelas politik disediakan untuk mengasah tajam bakat-bakat ini. Ia berjalan berterusan, bukan bermusim.
Sistem DAP sama seperti menjalankan perniagaan, mereka juga sebenarnya tamak, tetapi ia dilakukan dengan cara yang sistematik iaitu dengan memberi tumpuan kepada kerusi utama atau yang telah dimenangi, bukan gelojoh menambah kerusi hingga tak mampu sediakan wang kempen dan deposit.
Cara DAP ini antara lain bertujuan untuk menjadikan satu-satu kawasan itu fix deposit undi, itu keutamaan mereka kerana sumber parti dapat digunakan dengan cermat, fokus dan efektif. Statistik jelas menunjukkan, nisbah undi teras DAP meningkat di setiap kawasan, hingga MCA dan Gerakan tak cukup makan.
Wakil-wakil rakyat DAP wajib menyumbang sekian peratus pendapatannya kepada parti yang antara lain ianya akan digunakan untuk menampung kos latihan dan pengkaderan. Wakil rakyat yang tak menyumbang, akan berdepan dengan masalah antaranya, tak akan dicalonkan lagi.
Cara ini berbeza dengan parti lain, yang cukup ghairah menambah kerusi, sekalipun akan berhadapan dengan pertelingkahan dan pertindanan kerusi dengan parti lain, hingga akhirnya sama-sama kalah.
Strategi politik DAP ini secara tidak langsung menjadi modal untuk meyakinkan bahawa DAP mempunyai formula (road to succes) kepada orang muda. DAP sentiasa pragmatik dan berinovasi dengan cara untuk menjual idea kepada orang muda, begitulah perniagaan dijalankan.
Strategi ini, budaya kerja ini, saya tidak nampak dengan parti yang lain, khususnya parti Melayu. Kenapa?
Saya tidak tahu semua perkara, namun jika mana-mana parti yang tidak ada proses seperti DAP atau PAS, dan kepimpinan parti tidak berusaha memahami mentaliti atau kehendak anak muda, adalah sukar untuk sesebuah parti itu berkembang dan mengukuh.
Usaha nak Melayu bersatu, nampaknya jauh lagi.
Oleh : Mahdzir Ibrahim – Bekas pemimpin DAP
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com