Perlembagaan Malaysia tidak menyebut negara Malaysia adalah negara berbilang kaum. Perlembagaan Malaysia juga tidak pernah menyebut tentang ‘Malaysian Malaysia’ yang di promosikan oleh Pakatan Harapan.
Yang mula menyebut tentang Malaysian Malaysia ialah DAP pada tahun 1964. Yang menyambut dan memaksa kita untuk menerima konsep Malaysian Malaysia ialah Dato Seri Anwar Ibrahim. Ini berlaku Ketika Anwar di buang dari UMNO dan tidak mendapat sokongan dari orang-orang Melayu untuk menubuhkan sebuah parti politik baru.
Anwar kemudiannya mendekati kaum Cina dan menuduh orang melayu perkauman. Anwar yang mula menuduh orang melayu bersikap perkauman untuk mendapat sokongan dari orang-orang bukan melayu.
Malangnya orang melayu tidak tahu untuk menjawab tuduhan perkauman ini dan mereka mula berasa bersalah. Memang benar negara kita mempunyai penduduk berbilang kaum dan kita tidak pernah menidakkan kaum dan bangsa lain.
Negara ini adalah negara tanah air Melayu dan orang melayu memang ada keistimewaan seperti termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini tidak menyifatkan orang melayu sebagai perkauman.
Semasa Merdeka kita membenarkan bangsa lain untuk menjadi warganegara dengan pemahaman mereka akan mengadaptasi dan mengasimilasi budaya dan bahasa kita.
Seperti juga di Amerika yang menerima bangsa luar sebagai warganegara Amerika dengan syarat mereka harus menerima bahasa Inggeris sebagai bahasa lingua franca, menerima budaya orang Amerika dan kesetiaan kepada negara Amerika. Kita tak dapat pembudayaan yang sama.
Di Malaysia ini tidak berlaku. Yang pertama sekali mereka tidak menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa nasional. Mereka menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tetapi bukan sebagai bahasa nasional.
Bahasa Rasmi dan bahasa nasional berbeza. Bahasa rasmi contohnya bahasa dalam dokumen dan surat menyurat manakala bahasa nasional adalah bahasa yang dipertuturkan di rumah diantara anak beranak, saudara-mara dan juga rakan-rakan.
Pemimpin Melayu ketika itu seolah-olah tidak memberi penekanan walaupun kita mempromosi Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Selepas kemerdekaan berbagai kempen di buat secara besar-besaran untuk mempromosi bahasa Melayu malah Dewan Bahasa dan Pustaka juga turut aktif terlibat tetapi orang cina masih tidak menerima dan masih mengekalkan Bahasa cina mereka sebagai bahasa utama.
Lebih mengeruhkan keadaan, orang cina di Malaysia mengikut bahasa rasmi negara China untuk menjadi bahasa utama mereka. Pada suatu ketika orang Cina di Malaysia bertutur dialek Kantonis, Hokien dan lain-lain yang kita kenali sebagai Bahasa Cina.
Tulisan bahasa Cina mengikut abjad karakter. Dengan penulisan karakter yang sama ianya mempunyai beberapa sebutan dan makna yang berbeza begitu juga Bahasa Jepun yang mempunyai karakter penulisan yang sama tetapi berbeza dari segi sebutan dan makna. Jadi bahasa Cina pada masa dahulu bukan bahasa kebangsaan. Orang Cina tak ada bahasa Kebangsaan.
Mereka ada dialek masing-masing dan semasa merdeka kita berpendapat orang cina akan menggunakan dialek mereka sebagai bahasa perantaraan orang Cina di Malaysia. Tetapi apabila negara China membuat keputusan untuk menjadikan Bahasa Mandarin sebagai bahasa kebangsaan negara China, orang-orang Cina di Malaysia juga menukar bahasa mereka kepada Mandarin.
Ini menunjukkan kiblat dan identiti orang-orang Cina di Malaysia adalah negara China. Ini tidak pula di bincang, dipersetujui atau diminta persetujuan dari kerajaan sebagai rakyat Malaysia. Orang-orang Cina Malaysia sesama mereka sahaja membuat keputusan.
Walaupun kerajaan Melayu membenarkan orang Cina menggunakan bahasa mereka di sekolah tetapi harapan kita ialah supaya pada akhirnya mereka sebagai rakyat Malaysia akan menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan dan ini menjadi identiti rakyat Malaysia.
Hakikatnya, orang cina semakin jauh dari Bahasa Melayu. Bahkan ada segelintir kaum cina yang mengharapkan Bahasa Cina akan menjadi bahasa kebangsaan Malaysia seperti di Singapura.
Semenjak merdeka, kaum Cina tidak mahu menghapuskan bahasa mereka dan terima bahasa Melayu, kita benarkan mereka terus bertutur dan belajar dialek mereka. Yang di benarkan adalah dialek mereka. Kita tak pernah benarkan bahasa Mandarin untuk menjadi bahasa kebangsaan orang-orang Cina di Malaysia.
Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak menyebut negara Malaysia sebagai negara berbilang kaum tetapi media dan orang-orang bukan Melayu dengan bebas dan bangganya merujuk Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan menuntut kesaksamaan dan kesamarataan hak bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Mereka inilah yang sebenarnya bersifat perkauman. Bahasa merupakan identiti sesebuah negara. Sesebuah negara dikenali melalui bahasa kebangsaan negara.
Armin Baniaz Pahamin – Seorang Penganalisis Politik
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili malayadaily.com