TERKINI

Bersatu Main Bola Tak Lihat Tiang Gol

Bersatu hari ini sedang diuji kebersatuannya. Ujian ini harus mengambil iktibar daripada perang politik dalam PKR yang berantakan sehingga dua menteri berundur. 

Dalam isu Bersatu, jangan lupa nasihat Melayu – tarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berserak. 

Cakap memang mudah, tetapi realitinya mungkin tak semudah itu. Namun di sebalik segala kesukaran, pasti ada jalan. Dan Bersatu boleh melakukannya.

Apakah masalah utama di sini?

Kisahnya bermula selepas PRU15, di mana PN dilihat lesu, lemah dan tumpul. Kelemahan ini bukan saja ekoran kesilapan strategi dalam pembentukan kerajaan tetapi kerana pelbagai tekanan dan pendakwaan kes di mahkamah.

Dalam PN, suka atau tidak, tiang serinya adalah Bersatu walaupun kerusi yang dimenangi lebih kecil berbanding PAS. Kenapa Bersatu tiang serinya? kerana faktor sejarah dan legasi politik.

Apakah punca kelemahan Bersatu?

Seperti juga naratif pasca PRU15, kepimpinan utama Bersatu kini mengalami ‘demam’ dan ia menular dalam keseluruhan organisasi. Demam ini juga berpunca daripada kelelahan menghadapi tekanan politik yang bersilih ganti. Ini suasana normal dalam dunia politik.

Dalam sukan bola sepak, apabila kapten pasukan tercedera atau pancit, maka seharusnya masalah ini diurus dengan mudah iaitu dengan membawa masuk pemain gantian, bukannya kapten berpura-pura cergas.

Penukaran pemain ini penting untuk memastikan pasukan terus mampu bersaing, melawan, membentes, menggelecek, menendang, mengumpan bola, bertahan dan menyerang. Tanpa ada semua aksi ini, mana mungkin gol dapat dijaringkan. Dalam bola sepak, kelebihan gol adalah kemenangan.

Oleh itu, keputusannya sudah ada tetapi ia tidak dilakukan. Apakah Bersatu mahu menunggu waktu kecederaan untuk membawa masuk supersub?

Jika itu strateginya, apakah cukup masa bagi pemain gantian itu melaksanakan tugasnya? Atau pemain gantian itu sekadar dijadikan ‘kambing hitam’ apabila pasukan tewas?

Winston Churchill terkenal kerana kemampuannya mengurus dan memimpin negara ketika Perang Dunia ke-2. Tetapi Churchill dilihat tidak mampu memimpin negara ketika ‘perang ekonomi’ hingga dia tewas dalam pilihan raya. 

Begitulah sejarah memberitahu kita tentang peranan seorang pemimpin, dalam satu-satu keadaan.

Begitu juga dengan Muhyiddin Yassin, yang secara kebetulan menjadi Perdana Menteri ketika gawat Covid-19. Ketika itu, dia dilihat berjaya mengurus keadaan dengan baik. Namun itu ketika dia berkuasa sebagai Perdana Menteri, bukan sebagai pembangkang. Keadaannya berbeza dengan hari ini.

Kini, apabila tidak lagi berkuasa, Muhyiddin dilihat tidak mampu menjadi pemimpin pembangkang yang jitu dan garang, sebaliknya dia dilihat terus bernostalgia seolah-olah masih menjadi Perdana Menteri.

Rakyat hari ini memerlukan Ketua Pembangkang yang berani, bukan pemimpin yang dilayan seperti Perdana Menteri.

Inilah punca masalah hingga menjadikan PN lemah. Kekuatan atau kelebihan rakan komponen PAS tidak ada gunanya ketika ini kerana nakhoda kapal tidak berfungsi sebagai nakhoda.

Apabila keseluruhan PN lemah, mereka juga dilihat tidak mampu mengurus suara daripada  rakan pembangkang yang berada di luar PN.

Hingga kini, Muhyiddin dilihat tidak mampu menyatukan suara-suara NGO dan parti-parti politik lain yang berada di luar PN. Kekuatan pembangkang tidak diurus dengan betul. Sebaliknya kerja-kerja penyatuan ini dibuat oleh Dr Mahathir Mohamad yang telah lanjut usianya.

Realiti ini amat menyedihkan buat semua kumpulan pembangkang. Ia cukup pahit untuk ditelan tetapi itulah hakikatnya.

Apakah ada jalan keluar untuk pembangkang, untuk Bersatu dan PN?

Jalan keluar itu ada, namun yang paling sukar ialah untuk memilih atau membuat keputusan. Dan setiap keputusan yang dibuat oleh kepimpinan Bersatu akan memberi kesan kepada seluruh pembangkang dan negara.

Negara memerlukan kesatuan pembangkang, dan pembangkang memerlukan kapten yang berani. Itu saja.

Sebagai komponen teras dalam PN, Bersatu perlu bangkit agar kebangkitan Bersatu boleh memulihkan kekuatan PN dan pembangkang. Jika tidak, pasukan ini akan bermain bola tanpa mampu melihat di mana tiang golnya.

Oleh : MAHDZIR IBRAHIM – Bekas Pemimpin DAP

Rencana ini telah diterbitkan di malaysiakini.com

Facebook
Twitter
WhatsApp