TERKINI

Bumi Dipijak, Langit Dijunjung: Politik Malaysian Malaysia Ditolak – Bah. 1

Gambar hiasan, Mansor Mohd Noor (gambar kecil) – malayadaily.com

Hati orang orang Melayu semakin hilang terus kepercayaan kepada DAP apabila Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham yang menyarankan agar kerajaan melantik pakar daripada komuniti bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Menggubal Undang-Undang Islam.

Dalam masa yang sama, Anthony Loke menyifatkan kenyataan Ngeh Koo Ham itu berbentuk peribadi dan khilaf.

Namun begitu, Ngeh Koo Ham sudah tampil memohon maaf dan menarik balik cadangannya melantik pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam.

‘Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’. Lantaran itu, ramai ahli politik dan tokoh-tokoh Melayu melahirkan rasa “bengang” mereka terhadap saranan Ngeh.

Bagi mereka perkara sebegini sudah berulang kali berlaku dan telah menjadi kebiasaan bagi ahli politik kaum tertentu melontarkan pandangan yang biadap, mengancam perpaduan dan keselamatan negara.

PUTRA telah membuat laporan polis berhubung kenyataan Ngeh Koo Ham yang didakwa mencampuri urusan hal ehwal agama Islam hingga menimbulkan ketidaktenteraman dalam kalangan rakyat.

Perkara itu turut mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang mengeluarkan kenyataan bahawa orang bukan Islam tidak boleh mencampuri dalam hal agama dan hal ehwal umat Islam.

Ini bukan sekali sentimen perkauman dan agama dimainkan oleh kepimpinan DAP dan beberapa kepimpinan bukan beragama Islam lain.

Mereka seharusnya lebih berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan serta cadangan yang menyentuh sensitiviti orang Melayu, umat Islam dan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kajian menunjukkan kesepaduan nasional, etos bangsa dan batas etnik adalah baik di negara ini.
Namun, apabila orang-orang politik ‘membuka mulut mereka’ perbuatan menyentuh sensitiviti kaum dan agama pasti berlaku.

Dalam bicara politik tidak bertulang dan beracun, Malaysia akan terus berdepan dengan situasi sukar dari sudut mengukuhkan keharmonian, perpaduan dan keselamatan negara.

Disiplin hubungan etnik dan negara bangsa telah menggariskan kesemua negara bangsa memiliki etnik asal, anak watan, etno-simbol, etno-nasionalisme dan nasion.

Namun negara bangsa adalah dinamik dan berubah-ubah. Ini bermakna negara bangsa boleh berubah-ubah ekoran migrasi, penerokaan, penjajahan, imperialisme, pembangunan, globalisasi dan digital pergerakan yang melanda dunia semenjak abad ke-16 hingga ke hari ini.

Walaupun perubahan kefahaman negara bangsa berubah dan cair dengan terbentuk negara bangsa sivik, migrasi, perubahan teknologi, aneka kepelbagaian budaya, kemajuan dan kosmopolitan tetapi pasak dan pentakrif yang berakar umbi dalam lapisan sejarah dan warisan bangsa berterusan kekal dalam membina etos dan jati diri bangsa sepunya.

Oleh itu, tidak akan berlaku jika semua pihak akur, hormat dan faham akan wacana anak watan orang Melayu, Orang Asli, Bumiputera Sabah dan Sarawak yang menjadi pasak bangsa di negara ini.

Namun begitu di Malaysia, pembangunan, migrasi, globalisasi dan dunia digital pada hari ini telah melahirkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi bukan sahaja di antara negara utara-selatan tetapi dalam negara Malaysia juga di antara bandar dan desa hingga lahir golongan development winner versus development loser dan golongan kaya-berkuasa lawan miskin-tiada bersuara terutamanya dalam kalangan orang Melayu, Orang Asli, Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Dengan ketidakseimbangan sosial ini, negara bangsa masyarakat majmuk pasca penjajah seperti Malaysia ini yang mencapai kemerdekaan dari tangan penjajah British, tidak lekang dari tindakan provokasi untuk menguasai politik dari penguasaan anak-anak watan.

Malahan budaya politik dan sistem pemerintahan bukan berubah ke arah lebih sivik dengan menutamakan keadilan, keterangkuman, kebajikan dan libat sama demokrasi tetapi sebaliknya menyaksikan kebangkitan politik sentimen etnik, multi-etnik nasionalisme, dan multi-etnik nasion berdasar ideologi multi-kulturalisme terutama dalam kalangan kepimpinan DAP.

Dan generasi perantau dari peradaban Asia di mana ideologi kewatanan dalam kalangan anak-anak watan hingga ikatan koletif kebangsaan bangsa sepunya Malaysia mahu ditolak hingga terungkai ikatan kesepunyaan dan, akhirnya pasti pecah berderai.

Oleh itu jelas menunjukkan di Malaysia, semasa pilihan raya pesaingan politik dalam amalan demokrasi bukan menjaga kepentingan warga negara yang terikat dalam satu unit politik tetapi dimensi-dimensi ras, etnik dan agama digembling dan meletakkan kepentingan kumpulan etnik-agama masing-masing mengatasi pembinaan bangsa sepunya untuk menguasai governan, dasar pemerintahan dan pembangunan negara.

Professor Dr Mansor Mohd Noor, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp