TERKINI

DAP hilang asas moral politik

Kali pertama saya kenal Hannah 2009/10, dia minta saya jangan minta dia cakap bahasa Mandarin kerana mandarin dia ‘koyak’, ini dulu.

Saya lihat dia seorang yang sempoi, budak bandar, belajar undang-undang di Australia, balik Malaysia cakap Melayu dan Inggeris, Tony Pua sunting dia, ajar dia, jadikan pegawai politik hingga menjadi calon dan pemimpin.

Saya cukup senang dengan dia berbanding minah kental DAP yang lain. Masa dia jadi Adun dan Speaker negeri Selangor dulu, dia tetap sempoi.

Budak-budak PKR pun suka dia berbanding ‘mother’ Teresa. Malah, saya pernah dengar Tun Mahathir memuji Hannah sewaktu dia menjadi Timbalan Menteri 2018/20.

Saya masih ingat dia terangkan, kenapa dia komited dengan cadangan mahu menghilangkan nama bangsa dalam kad pengenalan.

Walaupun ketika itu, saya tak bersetuju dengan agenda dia, tetapi sebagai komrad, saya dengar hujah dia, saya faham naratif dia dan saya hormati cita-cita dia.

Samada dia sedar atau tidak, bagi saya dia cukup percaya dengan idealisme Sosial Demokrasi (idelogi DAP), malah beberapa kali dia digunakan untuk bercakap dan merekrut budak-budak Melayu yang mahu jadi DAP, macam dia.

Ada satu masa, dia pernah berseloroh (mungkin dia lupa), kenapa dia pilih jejaka India sebagai pasangan hidupnya. Selain cinta, itu kerana dia betul-betul mahu praktikkan nilai yang dia percayai.

Dia mahu zahirkan dan meraikan nilai yang kita kenal sebagai; kepelbagaian kaum. Sekalipun itu jenakanya, tapi bagi saya, ia ada asas. Dia mahu mempraktikkan prinsip itu dalam hidupnya. Tanpa sedar atau sengaja, inilah ‘etos’ politik DAP yang tumbuh dalam jiwa Hannah.

Boleh dikatakan, Hannah ini mewakili generasi pimpinan DAP yang ke tiga selepas generasi Dr Cheng Man Hin, Kit Siang, Devan Nair, Karpal Singh, di ikuti generasi Guan Eng dan kini generasi Loke.

Setiap generasi DAP ini ditarbiah dengan sangat kental tentang prinsip perjuangan parti. Dan sepanjang turun naik politik, DAP saya kira berjaya mengawal nafsu serakah berbanding parti-parti politik yang lain.

Hannah antara pemimpin muda yang dilihat berprinsip dan praktikal, yang betul-betul mengikut acuan politik DAP. Dia boleh bercakap dengan pelbagai manusia dari pelbagai peringkat, satu keistimewaan yang tak boleh dibuat-buat.

Tapi itulah, masa berlalu, siapa sangka kini dia menjadi simbol kerosakan moral politik DAP.

Ketika zaman DAP kental berprinsip, DAP meletakkan satu asas atau ‘benchmark’ yang cukup tinggi dalam etika politik. Dan saya kira, itu retorik yang bukan kaleng-kaleng.

Bagaimana suatu ketika dahulu, dia menggambarkan UMNO ini suatu parasit yang merosakkan integriti politik dan negara.

Lihat bagaimana dia mengkritik dan mengecam kronisme, nepotisme sebagai virus yang begitu jijik dalam politik, yang harus ditunjal keluar.

Tetapi hari ini, dia boleh duduk dalam satu kebinet dengan Zahid Hamidi, pemimpin UMNO yang bermasalah, yang pernah dikecamnya dahulu. Barangkali, Hannah berdamai kerana DNAA telah mencuci segala dosa Zahid.

Hari ini, dia boleh berkata urusan syarikat suaminya dengan kerajaan Selangor sebagai berdasarkan ‘merit’ sungguhpun UMNO dikecam teruk kerana amalan nepotisme dan kronisme dalam pelbagai lantikan dan pemberian projek.

Samada Hannah ini pelupa atau tiba-tiba bodoh, saya tak pasti. Yang dia patut tahu, ada merit atau tidak ada merit sesuatu perkara itu, perlu ada etika dan ada asas moralnya.

Momokkan monopoli dalam ekonomi atau perniagaan, sering dikatakan datang dari dukungan politik (kronisme dan nepotisme), tetapi jangan silap, monopoli dan ketidakadilan juga boleh datang melalui merit.

Sistem merit ini bukanlah baru, di Barat sistem ini sudah lama dipraktikkan, dan ternyata ia gagal menyelesaikan masalah etika dan keadilan sosial.

Buku ‘The Tyranny of Merit: Can We Find the Common Good?’ karya Michael Sandel, banyak menyatakan masalah merit ini, tetapi kita tidak semak dan peduli.

Buku ini menyimpulkan bahawa merit menjadi sejenis kezaliman menerusi cara ia menyifatkan kelayakan kepada orang yang berjaya. Bagi yang miskin, mereka tidak akan keluar dari kemiskinan kerana mereka tiada keupayaan untuk mengadakan ‘merit’ (kelayakan) untuk menggapai kejayaan.

Melihat kembali rekod politik Hannah yang mengecam Zahid Hamidi dan UMNO sebelum ini, Hannah sebenarnya tidak ada merit untuk bercakap tentang merit. Merit mewujudkan monopoli, dan DAP mahu memonopoli merit sebagai retorik keadilan.

Lebih 10 tahun saya menjadi ahli DAP, belum pernah di masa saya bersama parti itu, DAP hilang asas moral politik seperti hari ini.

Hari ini saya bersyukur, saya ada merit untuk bercakap tentang merit.

-Tamat

Mahdzir Ibrahim: Penulis yang mendukung semangat nasionalisme

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp