TERKINI

Hubungan China : PMX Perlu Tahu Keutamaan

Foto fmprc.gov.cn

Dalam hidup kita sentiasa ada pilihan, kalau tidak pilih kiri, kita kena ambil kanan. Sama lah juga seperti kalau hendak berkahwin, kalau hendak lelaki kaya, mungkin tidak baik paras rupa. Kalau hendak yang elok paras rupa, mungkin tidak berada. Kalau dapat dua dua, langkah kanan namanya.

Itulah realiti kehidupan. Sangat susah untuk kita hendak dapatkan kesemua yang kita mahu. Dan perkara ini Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu sedar, sudah tiba masanya kita perlu memilih keutamaan dalam isu konflik China dah Laut China Selatan.

Pilihan yang kita ada adalah, benarkan China menghina dan merobek maruah dan kedaulatan kita demi kebaikan ekonomi negara. Atau mengorbankan sedikit ekonomi negara demi memartabatkan kedaulatan negara.

Bayangkan apa negara luar akan kata kalau sampai kita perlu berunding dengan China untuk syarikat tempatan kita hendak melakukan operasi penggalian minyak dan gas walaupun dalam perairan kita.

Kalau sewaktu penjajahan tanah oleh British, nenek moyang kita bermatian untuk membebaskan kita daripada cengkaman mereka. Jadi apa beza dengan penjajahan perairan yang China lakukan sekarang? Sama sahaja tiada beza.

Semua akui bahawa China adalah antara rakan dagang terbesar Malaysia dan kita sangat memerlukan pelaburan daripada China. Tetapi dalam masa sama juga China sangat memerlukan ASEAN.

ASEAN adalah pengimport barangan dan servis terbesar untuk China. Malah ASEAN telah berjaya mengalahkan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dalam jumlah dagangan pasca pandemik. Jumlah dagangan ASEAN dengan China bernilai USD 507.9 billion.

Sebab itu, PMX perlu mengambil langkah proaktif bersama ASEAN, mungkin bila bersendirian, kita tidak mampu untuk bertegas dengan China. Tetapi jika kita bergerak dalam satu kesatuan, ASEAN pasti mampu untuk bertegas.

Kenapa kita perlu mengambil risiko begini? Ini kerana isu Laut China Selatan adalah isu yang menggugat kedaulatan negara kita dan tidak boleh dipandang remeh apatah lagi China sering kali melakukan onar di perairan tersebut sehingga menganggu keselamatan rakyat tempatan.

Malaysia sudah tidak boleh berunding. Setiap rundingan kita bersama China akhirnya akan gagal dan hanya akan menguntungkan China. Disaat kita percaya China akan mengikuti rundingan kita, dalam diam mereka meluaskan jajahan mereka.

Contohnya, bulan Julai tahun lepas, mereka sudah berjanji untuk mempercepatkan Kod Tatalaku. Tapi lihat apa jadi? mereka masih menyekat dan mengusir kapal-kapal peronda mahupun kapal konvensional negara ASEAN.

Konklusinya, sudah tiba masanya Anwar perlu tahu apa keutamaan sebenar sekarang. Sampai bila kita hendak benarkan orang luar pijak kita di tanah air sendiri.

Azni Kaca – Pemerhati Dasar Luar

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp