TERKINI

Isu Kuil Haram Adalah Isu Jenayah, Bukan Isu Agama

“Tiada agama di dunia ini yang membenarkan penganutnya membina rumah ibadah secara haram, dan tiada kaum sepatutnya mempertahankan kewujudan rumah ibadah yang dibina bertentangan dengan undang-undang dan ajaran agama mereka sendiri.”

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, isu yang sering dilabel sebagai “kuil haram” kembali menjadi perhatian awam berikutan pertindihan tiga faktor utama yang berlaku secara serentak.

Pertama, pertikaian status tanah dan proses kelulusan, termasuk isu pencerobohan tanah, ketiadaan kebenaran merancang, serta penggunaan tanah melalui pajakan atau Temporary Occupation Licence (TOL) yang tidak diperbaharui atau disalahgunakan.

Kedua, kontroversi naratif awam, khususnya penggunaan istilah “kuil haram” atau “tokong haram” yang sering dianggap menghakimi, bersifat simplistik, dan berpotensi mencetuskan ketegangan sosial serta polarisasi kaum dan agama.

Ketiga, pertembungan dakwaan antara komuniti, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri, termasuk isu sensitif berkaitan dakwaan pertindihan tapak surau dan tapak kuil.

Walaupun dakwaan sedemikian telah dinafikan oleh pihak berkuasa negeri, ia tetap dimanipulasi sebagai alat mobilisasi emosi di media sosial, sehingga mengaburkan fakta, konteks sebenar dan prinsip undang-undang yang sepatutnya menjadi asas perbincangan.

Secara ringkas dan tegas, isu ini bukan isu perdebatan agama. Ia menyentuh perkara yang jauh lebih besar dan fundamental, iaitu maruah komuniti, kedaulatan dan pemilikan tanah, ketegasan penguatkuasaan undang-undang, serta persepsi layanan dua darjat dalam tadbir urus negara.

Saya cenderung kepada pendirian yang diketengahkan oleh beberapa laporan media arus perdana bahawa isu ini wajar dilihat dan ditangani dari sudut pelanggaran undang-undang serta pencerobohan tanah, dan bukannya ditafsirkan atau dimanipulasi sebagai isu kebencian agama.

Pendekatan ini lebih tepat dan selari dengan prinsip rule of law, kerana asas kepada konflik ini ialah kegagalan pematuhan undang-undang tanah dan perancangan, bukannya pertembungan kepercayaan atau ajaran agama.

Dalam konteks ini, satu prinsip asas perlu ditegaskan secara jelas dan adil: tiada agama di dunia ini yang membenarkan penganutnya membina rumah ibadah secara haram, dan tiada kaum sepatutnya mempertahankan kewujudan rumah ibadah yang dibina bertentangan dengan undang-undang dan ajaran agama mereka sendiri.

Semua agama, tanpa pengecualian, menekankan nilai ketaatan kepada undang-undang, keadilan, dan penghormatan terhadap hak pihak lain.

Isu ini sememangnya sensitif. Namun sensitiviti tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup mata terhadap pelanggaran undang-undang.

Kita perlu sedar bahawa Malaysia ialah sebuah negara berdaulat yang berteraskan kedaulatan undang-undang, dan kedaulatan tersebut tidak boleh digugat atas nama sentimen, emosi atau tekanan awam.

Namun demikian, satu kelemahan serius dalam sistem tadbir urus negara perlu diakui secara jujur. Sehingga kini, tiada statistik rasmi atau kajian menyeluruh pernah dijalankan untuk mengenal pasti jumlah sebenar rumah ibadah yang dibina tanpa kelulusan, sama ada melibatkan kuil, tokong, gereja atau mana-mana rumah ibadah lain.

Tiada kementerian, tiada PBT, dan tiada agensi kerajaan pusat yang mempunyai mekanisme pemantauan bersepadu khusus bagi isu rumah ibadah yang melanggar undang-undang atau menceroboh tanah.

Kementerian manakah yang sepatutnya bertanggung-jawab? Kementerian Perpaduan? Jika tanggungjawab ini diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan, maka jelas kementerian tersebut telah gagal sepenuhnya melaksanakan mandatnya secara berkesan.

Kekosongan tadbir urus ini telah membenarkan pelanggaran undang-undang berlarutan selama bertahun-tahun tanpa penyelesaian tuntas.

Lebih membimbangkan, pemantauan dan tindakan tegas hampir tidak pernah diambil secara konsisten terhadap pelanggaran undang-undang dan pencerobohan tanah oleh rumah ibadah.

Penguatkuasaan lazimnya hanya berlaku selepas isu tersebut tular atau dipolitikkan, bukannya melalui audit berasaskan undang-undang yang sistematik dan berterusan.

Pendekatan reaktif ini bukan sahaja melemahkan kewibawaan institusi penguat kuasa, malah mengukuhkan persepsi bahawa undang-undang dikuatkuasakan secara terpilih.

Dalam sebuah negara yang berteraskan kedaulatan undang-undang, pencerobohan tanah adalah kesalahan jenayah, tanpa mengira sama ada ia dilakukan atas nama komersial, perumahan atau keagamaan.

Undang-undang tanah dan perancangan bandar tidak menyediakan sebarang kekebalan khas kepada mana-mana pihak untuk melanggar peraturan asas negara.

Oleh itu, Kerajaan MADANI tidak boleh lagi berlindung di sebalik retorik keharmonian atau sensitiviti untuk mengelak daripada mengambil tindakan.

Tindakan jenayah dan tindakan undang-undang wajib diambil terhadap sebarang pencerobohan tanah, termasuk yang melibatkan rumah ibadah, secara tegas, konsisten dan berperlembagaan.

Sebarang bentuk toleransi melalui pemberian pampasan bukan sahaja salah dari sudut prinsip undang-undang, malah menjadikan negara ini bersekongkol dalam menghalalkan perbuatan jenayah.

Ketegasan ini bukan soal menghukum agama atau komuniti tertentu, tetapi soal mempertahankan kedaulatan undang-undang dan maruah negara. Sebuah negara yang membiarkan pencerobohan tanah berterusan, lalu menutupnya dengan pampasan atau alasan sensitiviti, sebenarnya sedang menghalalkan jenayah melalui dasar.

Negara tidak boleh membeli ketenteraman sosial dengan mengorbankan prinsip undang-undang. Keharmonian yang dibina atas toleransi terhadap pelanggaran undang-undang adalah keharmonian palsu, rapuh dan berbahaya.

Jika undang-undang terus dikuatkuasakan secara selektif atau dikompromikan demi kepentingan politik jangka pendek, maka yang sedang runtuh bukan sekadar integriti sistem perundangan, tetapi asas kenegaraan dan kewibawaan negara itu sendiri.

Dr Armin Baniaz Pahamin, Aktivis Politik

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp