TERKINI

Jangan lagi guna istilah STEM

Dr Anuar Ahmad – foto facebook DAA

DASAR 60:40 (Sains [tulen]: Sastera) telah diperkenalkan pada tahun 1967. Tujuannya sangat baik, untuk meningkatkan bilangan murid dalam aliran sains tulen supaya pada akhirnya sumber manusia berkelulusan dalam bidang sains dan teknologi akan bertambah ramai di negara ini. Satu wawasan negara yang memandang jauh ke depan.

Setelah begitu lama dilaksanakan, barulah disedari bahawa adalah sukar untuk dasar ini dijayakan. Jadi apa nak buat? Nak batalkan dasar? Nak teruskan dasar?

Akhirnya, timbul cadangan baru. Ubah ‘tiang gol’. Dari maksud aliran sains tulen, dijenamakan pula kepada STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Sebenarnya istilah STEM belum wujud pada tahun 1967. STEM lahir kemudian.

Rakyat seperti biasa tak kisah sangat. Kamu nak ubah tiang gol ke? nak cat tiang gol ke? Malah kalau kamu nak buang tiang gol sekalipun, rakyat tak kisah. Tapi itu dulu.

Hari ini semakin ramai rakyat buka mata. Baru mereka sedar apa yang sebenarnya berlaku. Rupanya yang dimaksudkan sebagai STEM itu bukan hanya Science, Technology, Enginering dan Mathematic tetapi  berbagai kursus TVET seperti kemahiran mencuci muka, gunting rambut, landskap, bela ikan, kursus memasak, semua ‘merojak’ sebagai STEM.

Maka mencanaklah bilangan murid dalam aliran STEM berbanding sastera. Malah, sudah ada negeri diisytiharkan berjaya mencapai dasar 60:40. Rakyat masih yang tidak kisah. ‘Peduli apa kami. Nak sains tulen ke? Nak STEM ke, biarlah’.

Rakyat tak kisah sebab mereka sendiri tak tahu apa yang sedang berlaku. Hakikatnya, berlaku sekarang kemerosotan yang teruk pada aliran sains tulen. Hingga 2023, hanya 15.2% sahaja yang murid masuk aliran sains tulen (ambil Matematik Tambahan, Fizik,Biologi dan Kimia). Pada tahap 2017, angkanya ialah 19.5%.

Daripada jumlah sekecil 15.2% itu, keputusan SPM 2022 menunjukkan hampir separuh murid aliran sains tulen mendapat keputusan yang sangat rendah iaitu gred D, E dan G dalam Matematik Tambahan.

Matematik Tambahan adalah subjek utama aliran sains tulen.  Maksudnya, bila gred Matematik Tambahan sangat rendah, secara automatik mereka tak layak memohon bidang sains teknologi di IPT.

Bila ditolak separuh yang mendapat keputusan Matematik Tambahan yang rendah, maka tinggal hanya 7% sahaja lagi lulusan SPM 2022 aliran sains tulen yang mendapat gred cemerlang dan kepujian dalam Matematik Tambahan dan mereka layak memohon ke IPT.

Bayangkan hanya tujuh orang dari 100 orang masuk ke pengajian sains dan teknologi. Bagaimana kita mahu bercakap menjadi sebuah negara maju dalam sains dan teknologi pada masa depan jika hanya 7% sahaja sumber manusia dalam bidang sains dan teknologi?

Sebab itu, dasar 60:40 ini mesti dikaji semula. Ada dua pilihan. Pertama, mansuhkan terus jika rasa sudah tidak relevan, terbeban dan tak mampu lagi menjayakan dasar 60:40 lagi. Pilihan kedua, teruskan dasar ini dengan merangka semula pelan pelaksanaan dasar 60:40 yang lebih baik.

Tetapi, betulkan dahulu tiang gol. Jangan lagi guna istilah STEM, tetapi gunalah kembali istilah aliran Sains Tulen.

-tamat-

Dr Anuar Ahmad, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan UKM
(Artikel ini dipetik daripada hantaran di Facebook beliau)

Facebook
Twitter
WhatsApp