TERKINI

Jiwa merdeka lawan Akta Hasutan

Hilman Idham (kiri) – malayadaily.com

Sejak mula saya terlibat dengan aktivisme mahasiswa di kampus sekitar tahun 2007, antara perjuangan utama melibatkan gerakan mahasiswa adalah untuk mendesak penghapusan undang-undang ‘draconian’. 

Dalam gerakan kepemudaan, sudah tentulah kami secara konsisten mengambil sikap anti-establishment. Pastinya, kami mengambil garis keras mendesak pemansuhan undang-undang seperti ISA, Sosma, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan termasuk undang-undang yang mencengkam mahasiswa seperti Auku. Hanya satu kata, lawan! 

Bergabung dan menerajui wadah Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) ketika itu, kami bergerak seiring dengan masyarakat sivil. Pelbagai forum, bengkel, persidangan bahkan ceramah dan rapat umum diadakan untuk menyedarkan rakyat betapa undang-undang ini bersifat mencengkam dan akan digunakan untuk menindas rakyat. 

Parti-parti oposisi ketika itu khususnya PKR dan DAP terus lantang dan tegas mendesak pemansuhan ini. Mereka sendiri melihat dan merasakan bagaimana pemimpin mereka seperti Karpal Singh yang tidak sehaluan dengan kerajaan ditekan menggunakan undang-undang rimba ini. 

Sehinggalah saya graduasi dan menyertai PKR pada 2011, perjuangan itu terus berlanjutan. Setiap ceramah atau himpunan rakyat pasti kuat disusuli dengan gesaan memansuhkan undang-undang zalim ini. Paling berdegar-degar apabila pidato Anwar Ibrahim yang sering merumuskan undang-undang ini sebagai law of the jungle (undang-undang rimba). 

Pemansuhan ISA pada 2011 oleh Perdana Menteri, Najib Razak yang diharapkan menjadi game changer kepada landskap politik negara ketika itu tidak kesampaian. Perjuangan rakyat tidak kendur. Bahkan, pemansuhan ISA meniup semangat baru buat masyarakat sivil dan parti pembangkang untuk semakin kuat melawan. 

Saya masih ingat pada akhir tahun 2014, satu demonstrasi aman diterajui Badan Peguam Malaysia diadakan untuk mendesak penghapusan Akta Hasutan. Gerakan yang diterajui badan peguam itu muncul rentetan Azmi Sharom yang ketika itu masih seorang pensyarah di Universiti Malaya didakwa menghasut melalui penulisannya. 

Ribuan peguam dan massa rakyat berarak dan berjalan secara aman ke parlimen bagi membela hak asasi manusia dan kebebasan bersuara. 

Saya hadir sama. Ramai tokoh-tokoh masyarakat sivil, politik serta nama-nama besar perjuangan hak asasi manusia; S Ambiga, Edmund Bond, Latheefa Koya, Gobind Singh dan Sivarasa Rasiah. 

Lepas hampir 10 tahun, semalam saya masih berjalan ke mahkamah di Gua Musang untuk melawan undang-undang yang sama; Akta Hasutan. Kami bersolidariti dengan Muhyiddin Yassin yang turut didakwa menggunakan akta yang sama. Maklumlah, beliau kini pemimpin pembangkang dan pastinya pendakwaan tersebut bersifat politik. 

Tatkala pendakwaan dibuat, penghujahan peguam bela Muhyiddin, Amer Hamzah Arshad membawa saya mengimbau kembali zaman perjuangan sebelum ini. Amer Hamzah juga nama besar dalam perjuangan hak asasi manusia. Dia juga ada bersama di hadapan parlimen ketika demonstrasi 2014 dulu. 

Amer Hamzah turut berhujah bahawa manifesto kerajaan Pakatan Harapan yakni Kerajaan Madani pada hari ini menjanjikan pemansuhan undang-undang zalim ini khususnya Akta Hasutan. Ironinya, parti yang dulunya ditindas lalu menjanjikan agenda reformasi, kini menggunakan akta yang sama untuk menekan musuh politik mereka. 

Kerajaan Madani yang diterajui Pakatan Harapan bukan sahaja penipu, malah memiliki tahap hipokrasi yang begitu tinggi. 

Apa tidaknya, kerajaan yang sama sedang mempromosikan tema ‘Jiwa Merdeka’ untuk sambutan kemerdekaan pada tahun ini. Apa yang merdekanya apabila mulut dan suara rakyat terus ditutup? Apa yang merdekanya bila segala undang-undang yang mencengkam rakyat tetap digunakan? 

Akan tetapi kemunafikan Pakatan Harapan memang sudah mulai disedari rakyat masa kini. Perjuangan reformasi mereka palsu. Tidak ada sebarang perubahan pun. Mungkin perubahan tak mahu dilaksanakan supaya laungan ‘reformasi’ dalam program-program parti mereka terus absah. Jadi mereka boleh terus melaung dengan kepura-puraan. 

Cuma saya terfikir, mana perginya rakan-rakan yang berjalan dan berdemonstrasi dahulu? Ke mana perginya gergasi-gergasi pejuang hak asasi manusia yang tegas prinsip dan idealismenya? 

Di saat semakin banyak pendakwaan menggunakan Akta Hasutan, negara ini seolah-olah hilang para pejuang hak asasi manusia. Baru dua tahun bawah kerajaan Pakatan Harapan, sudah ada empat pendakwaan bawah Akta Hasutan. Bermula dengan Sanusi Sanusi, Razali Idris, CheguBard dan kini Muhyiddin. Agak-agaknya, di mana para pembela hak asasi manusia? Apakah Madani telah berjaya membisu dan membutakan mata ? 

Untuk perdana menteri yang sering berteriak reformasi, saya dah ada jawapannya. Ikut skrip pidato beliau dahulu:

Beliau kini berjiwa hamba,
Terpasung dek pangkat dan kuasa. 

Ayuh jiwa merdeka lawan Akta Hasutan. Kepalkan tangan, tumbuk ke udara. Ayuh kita laungkan, Merdeka!  

HILMAN IDHAM bekas aktivis mahasiswa yang kini merupakan ahli dewan negeri Gombak Setia, Selangor.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp