TERKINI

Jus Soli dan jiwa besar Orang Melayu

Azman Mohd Hashim (penulis) – malayadaily.com

Sejak zaman-berzaman, Tanah Melayu telah menerima kedatangan pelbagai kaum, termasuk pada zaman kerajaan Langkasuka, Sri Vijaya, dan Kesultanan Melaka. Pedagang dari serata dunia, termasuk India, China, dan Arab, telah singgah di sini.

Namun, perubahan besar dalam demografi Tanah Melayu berlaku pada awal abad ke-20 apabila British membawa masuk pekerja-pekerja migran dari China dan India secara besar-besaran. Mereka dijadikan tenaga buruh di lombong bijih timah dan ladang getah yang menjadi nadi ekonomi penjajah ketika itu.

Dalam usaha mencapai kemerdekaan daripada British, para pemimpin Melayu seperti Tunku Abdul Rahman terpaksa membuat keputusan yang sukar. Mereka bersetuju untuk memberi kerakyatan kepada lebih sejuta pekerja migran dari China dan India melalui prinsip jus soli, walaupun ini menimbulkan kebimbangan di kalangan orang Melayu mengenai keseimbangan kaum dan masa depan politik mereka.

Keputusan ini dimeteraikan melalui satu perjanjian politik yang kini dikenali sebagai Kontrak Sosial, di mana sebagai balasan, hak-hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Raja-raja Melayu dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selain daripada beberapa insiden terpencil, termasuk tragedi 13 Mei 1969 yang hanya berlaku di kawasan tertentu di Kuala Lumpur dan bukan di seluruh negara, hubungan antara kaum di Malaysia secara umumnya kekal aman.

Peristiwa tersebut merupakan satu episod tragik dalam sejarah negara, tetapi ia telah diikuti dengan langkah-langkah pemulihan dan perpaduan nasional yang diperkenalkan melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB), bertujuan mengurangkan jurang ekonomi antara kaum dan mempromosikan kesaksamaan.

Sejak itu, rakyat Malaysia dari pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Melanau, dan lain-lain telah hidup dalam keadaan aman dan tenteram. Mereka bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negara, melibatkan diri dalam sektor ekonomi, pendidikan, politik, dan sosial.

Kemajuan negara tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama semua rakyat, menunjukkan bahawa tiada masalah besar bagi orang Melayu untuk hidup bersama dengan kaum lain, asalkan setiap kaum menghormati asas-asas negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada dasarnya, orang Melayu tidak mempunyai masalah hidup berdampingan dengan kaum lain seperti Cina dan India. Mereka berkongsi kehidupan sebagai jiran, berkawan, malah ada juga yang berkahwin antara kaum.

Orang Melayu yang pada awalnya ragu-ragu dengan prinsip ‘Jus Soli’, namun pada akhirnya menerima juga kerana orang Melayu percaya pada prinsip bahawa setiap golongan di negara ini layak untuk hidup aman sambil mencari rezeki. Begitulah besar jiwa orang Melayu.

Bak satu baris dialog yang cukup terkenal, “Dia punya nasib dia makan. Apa salah ke makan sama-sama.” Itulah ungkapan salah satu dialog dalam filem Seniman Bujang Lapok yang diarahkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1961.

Maka, kaum Melayu juga tidak menentang hak kaum Cina dan India untuk mencari rezeki dan membina kekayaan di Tanah Melayu. Sesungguhnya, sumbangan kaum Cina dan India dari segi ekonomi dan sosial adalah tidak dinafikan dalam membangunkan negara ini.

Apa yang orang Melayu mahu adalah supaya Perlembagaan Persekutuan, agama Islam, dan institusi Raja-raja Melayu terus dihormati. Apa yang orang Melayu tidak mahu adalah pemerintahan negara ini dikendalikan oleh kaum bukan Melayu. Ini adalah hak orang Melayu yang mesti di pertahankan sebagai penduduk asal dan pewaris bangsa.

Azman Mohd Hashim SM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp