TERKINI

Kampung Angkat Madani: Strategi Anwar yakinkan Melayu

Gambar hiasan – foto Fulcrum.sg

Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, belum ada mana-mana kajian menunjukkan beliau semakin diterima oleh orang Melayu.

Sebaliknya, banyak kajian dan analisa yang dilaporkan bukan sahaja oleh media arus perdana, malah kumpulan penganalisis, menunjukkan Perdana Menteri ini masih bergelut untuk diterima oleh majoriti rakyat Malaysia iaitu Melayu.

Malah, beberapa penganalisis dan pengarang senior juga ‘subscribe’ dengan kajian dan laporan tersebut.

Terkini, Institut Perhubungan Antarabangsa Singapura memberi pandangan yang hampir sama dengan laporan terdahulu, bahawa Anwar hingga kini menghadapi masalah untuk meyakinkan pengundi Melayu.

Pandangan ini, juga dikongsi bersama oleh penganalisis politik tempatan dari Universiti Islam Antarabangsa yang mendakwa Anwar dan kerajaannya, masih gagal mendapat maklum balas yang baik dari orang Melayu.

Penafian atau perlecehan orang-orang Anwar tentang laporan-laporan regresif mengenai Pak Sheikh, itu lumrah dan ia hanya untuk meredakan kegelisahan mereka di mata umum.

Namun, hal ini sama naratifnya dengan kempen boikot produk yang dikaitkan dengan syarikat Israel.

Kesan boikot ke atas McDonald sebagai contoh, memang ia memberi kesan ekonomi khususnya tenaga kerja, namun persoalannya, bagaimana dengan kesulitan jenama besar ini boleh bertukar menjadi peluang kepada syarikat atau jenama tempatan, untuk dimanfaatkan?

Sekiranya, pemain tempatan khususnya dalam sektor F&B tidak menggunakan peluang ini untuk memajukan jenama dan jualan mereka, maka merekalah yang rugi.

Begitulah halnya dengan isu kegagalan Anwar meyakinkan pengundi majoriti iaitu Melayu. Sekiranya pembangkang tidak mengambil peluang ini untuk meyakinkan pengundi yang ada, maka ia tidak akan memberi apa-apa faedah untuk perubahan politik.

Sekalipun kumpulan Anwar melecehkan semua kajian dan laporan ini, mereka tetap bekerja keras di belakang.

Program Kampung Angkat Madani ini suatu program yang ada impak politik. Jika dahulu Kemas, JKKK, Klinik 1Malaysia digunakan untuk ‘touch’ pengundi luar bandar khususnya Melayu, samalah halnya dengan Kampung Angkat Madani.

Mengikut laporan media, RM 100 juta diperuntukan untuk program ini. Mengapa begitu banyak peruntukan disediakan? bukankah peruntukan bagi program-program kerajaan untuk kebajikan atau infrastruktur sudah disediakan? masih belum mencukupi?

Kumpulan Anwar melihat, ini boleh menjadi satu ‘tools’ untuk pemimpin masuk dengan bebas ke kampung-kampung atas nama program kerajaan. Dengan cara ini, usaha untuk meyakinkan pengundi Melayu boleh dibuat dengan lebih berkesan.

Sekurang-kurang, Anwar memahami dan berusaha untuk mengatasi masalah politiknya. Tetapi, adakah pembangkang memahami masalah mereka?

Sekian
Editor

Facebook
Twitter
WhatsApp