TERKINI

“KE AUPUNI HAWAIʻI”

Protes Aktivis Hawaii – Foto The Hawaii Files

Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyatakan UMNO akan di tolak Orang Melayu sendiri kerana amalan rasuah dan rebutan kuasa, ini beliau sebut lebih 20 tahun dahulu.

Tetapi pemimpin UMNO tidak mengendahkan nasihat Tun Dr Mahathir dan keputusannya kita dapat lihat hari ini.

Kini Tun Dr Mahathir selalu mengingatkan orang Melayu bahawa kita boleh hilang negara sekiranya kita tidak hati-hati dan bersatu mempertahankan hak kita dan agama kita, seperti di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saya pernah bertanya secara peribadi, adakah Tun mempunyai teropong ajaib yang dapat melihat masa hadapan? Beliau memberi jawapan yang amat logik, “Saya hidup cukup lama, mencecah 98 tahun. Saya sudah dapat membaca sesuatu paten (tindakan atau kejadian) itu jika dibiarkan berterusan, kemungkinan hasilnya ialah bagaimana.”

Mari kita lihat sejarah kepulauan Hawaii. Raja Hawaii yang di gelar King Kamehameha telah berjaya menyatukan kepulauan Hawaii pada tahun 1810 dan tertubuhlah sebuah kerajaan yang di panggil Kingdom of Hawaii dalam bahasa tempatan “Ke Aupuni Hawaiʻi”.

Kerajaan ini bertahan dari 1810 sehingga 1893 iaitu 83 tahun. Kerajaan ini ialah kerajaan berdaulat yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, sama seperti di Malaysia.

Kingdom Of Hawaii mempunyai tanah yang subur hasil dari pembentukan gunung berapi dan juga kedudukan strategik dari segi ketenteraan kerana berada di tengah-tengah lautan Pasifik.

Pada Ketika itu ramai peneroka-peneroka dari Amerika Syarikat dan Eropah datang dan membuka ladang-ladang, terutamanya ladang tebu untuk menghasilkan gula. Sama seperti Malaysia, tanahnya subur dan laluan penting kapal dagang.

Lama-kelamaan, peneroka-peneroka ini semakin kaya-raya dan mula berminat dengan politik tempatan demi menjaga kepentingan mereka.

Maka tertubuhlah sebuah parti politik yang di panggil ‘Reform Party’ ataupun Parti Reformasi pada tahun 1840 dengan agenda tersembunyi untuk meng-Amerikakan kerajaan Hawaii. Seakan-akan sama seperti di Malaysia.

Selepas hampir 50 tahun, Parti Reformasi yang di anggotai oleh peneroka-peneroka kaya-raya dan Orang Putih ini semakin kuat.

Pada tahun 1887, mereka berjaya memaksa raja yang memerintah Kingdom of Hawaii masa itu, King David Kalakaua untuk menandatangani Perlembagaan yang baru.

Perlembagaan baru ini antaranya membatalkan hak Istimewa anak watan iaitu hak milikan tanah dan menghadkan kuasa raja serta memberi beberapa kelebihan kepada peneroka-peneroka asing untuk membuat kekayaan. Mungkin boleh berlaku di Malaysia.

Bertolak dari sini, gerakan untuk meng-Amerikakan Hawaii di pergiatkan. Akhirnya sewaktu pemerintahan Queen Liliʻuokalani iaitu adik kepada King David Kalakaua, satu gerakan bersenjata oleh sekumpulan saudagar-saudagar kulit putih dengan di bantu oleh militia tempatan dan tentera Marin Amerika Syarikat, berjaya menggulingkan Queen Liliʻuokalani pada tahun 1893 hanya enam tahun kemudian.

Hari ini Hawaii amat popular dengan bandar Honolulu yang moden dan pesat, tetapi dimana Anak Watan Hawaii? Anak Watan Hawaii adalah kumpulan etnik yang miskin di atas tanah air sendiri, Anak Watan Hawaii tidak mampu tinggal di bandar-bandar kerana nilai hartanahnya yang mahal.

Oleh kerana pada 1887 Queen Liliʻuokalani digulingkan oleh sekumpulan saudagar-saudagar, bukannya di takluk oleh sebuah negara lain maka tindakan itu adalah melanggar undang-undang.

Maka sehingga hari ini masih ada gerakan menuntut keadilan dari kejadian tersebut, tetapi nasi sudah menjadi bubur. Malah pada 1993, Presiden Bill Clinton telah meminta maaf kepada anak watan Hawaii berkaitan insiden rampasan kuasa tersebut.

Hinanya anak watan Hawaii, sehingga hari ini di millenia baru masih digambarkan hanya layak untuk memakai jerami dan tidak berbaju melakukan tarian Hula untuk menghiburkan pelancung.

Ini adalah tahun ke-66 kita menerajui negara selepas empat ratus tahun dijajah. Masihkah kita tidak mahu mengambil serius nasihat dan pandangan negarawan yang telah melihat dan melalui pengalaman dari sebelum Merdeka hingga ke hari ini.

Jika 20 tahun dahulu beliau dapat membaca “paten” yang boleh menghancurkan UMNO, mungkin juga “paten” di lalui oleh orang Melayu hari ini, juga dapat dibaca oleh beliau.

Secara peribadi, saya melihat Tun Dr Mahathir telah mencurahkan segalanya. Tetapi kerana cintanya kepada bangsa Melayu, beliau masih bersemangat untuk berterusan memberi pandangan dan nasihat kepada kita orang Melayu untuk mengambil serius dan mempastikan tanah Melayu ini kekal di kuasai orang Melayu demi masa depan bangsa.

Azman Mohd Hashim SM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp