TERKINI

Memahami Integrasi dan Asimilasi

Gambar hiasan – foto Perchahaya

Amat menarik apabila kolumnis sebuah portal berita tempatan mengatakan Angela Merkel dan David Cameron berpendapat konsep kepelbagaian kaum telah gagal.

Perkara itu dibangkitkan lebih sedekad lalu, menekankan bahawa integrasi, berbanding asimilasi, mengakibatkan perpecahan dan perbezaan kaum, budaya, dan kerakyatan.

Pada peringkat awal, ketika kebimbangan dibangkitkan berkenaan kesan kepelbagaian kaum, mereka diserang oleh masyarakat sivil.

Tetapi lama kelamaan, rakyat Jerman dan Britain mula menyuarakan pendapat dan kebimbangan terhadap perkembangan impak kepelbagaian kaum terhadap masyarakat.

Kebimbangan mereka berpaksikan kecenderungan untuk mengasingkan diri di kalangan komuniti pendatang yang berpegang kepada bahasa, budaya asal mereka dan enggan belajar dan menerima budaya dan bahasa negara yang mereka duduki.

Penduduk tempatan merasakan bilangan pendatang yang semakin bertambah mengancam kelangsungan mereka.

Kebimbangan majoriti atau bangsa teras, terhadap pendatang berikutan keengganan pendatang berasimilasi dengan budaya tempatan dan sebaliknya berpegang kepada budaya yang diimport daripada negara asal.

Sebagai respon, bangsa teras ini mula mempromosikan idea untuk menggunakan peraturan khusus kepada pendatang – mereka perlu bertutur bahasa negara itu walaupun ketika berada di rumah.

Cameron bukanlah satu-satunya warga Britain yang bimbang dengan kurangnya asimilasi yang timbul dari amalan kepelbagaian kaum.

Sebelum itu, ketua pejabat pos yang berasal dari Sri Lanka yang telah bermastautin selama 17 tahun di Britain telah mengambil tindakannya sendiri menangani isu tersebut.

Beliau menegaskan sesiapa yang ingin mendapatkan perkhidmatan di pejabat pos kendaliannya yang terletak di kawasan campuran di Nottingham, perlu bertutur bahasa Inggeris, sekiranya tidak tahu, mereka perlu membawa penterjemah atau mereka tidak akan dilayan.

Deva Kumarasiri seperti dilapor akhbar Daily Mail dalam satu wawancara berkata: “Jika tidak mahu menjadi seperti warga British, pergi balik, asas negara akan terungkai jika kita tidak bercakap menggunakan bahasa yang sama.”

Kumarasiri kemudian telah dipindahkan atas desakan pemilik rumah kedai di mana pejabat pos itu terletak dan dia juga diusir oleh parti Liberal Demokrat di mana dia berkhidmat sebagai ahli majlis tempatan.

Walaupun begitu, dilaporkan, beliau telah dibanjiri dengan kad dan mesej sokongan dari seluruh United Kingdom menggambarkan kepada banyak pihak bahawa pendirian Kumarasiri mencerminkan sentimen popular.

Di sini, kumpulan liberal percaya Malaysia adalah negara berbagai kaum dan pelbagai kebudayaan.

Jika pembahagian politik dijadikan ukuran, boleh dikatakan majoriti orang Melayu masih lagi berpegang kepada konsep bahawa negara ini adalah negara Melayu dan diasakan kepada budaya serta bahasa Melayu.

Ia bukan andaian semata-mata sebaliknya berdasarkan peruntukan Perlembagaan iaitu bahasa kebangsaan ialah Melayu dan agama Persekutuan ialah Islam, kedua-duanya bukti bahawa bangsa teras adalah bangsa Melayu Islam walaupun kaum lain boleh mengamalkan budaya, bahasa dan agama mereka.

Ini adalah hasil dari tindakan pendiri negara yang memilih untuk integrasi dan bukan asimilasi.

Dalam erti kata lain, walaupun demografi negara adalah berbilang kaum dan budaya, kaum teras tetap Melayu.

Sekarang terdapat tuntutan mendesak komuniti pendatang di Malaysia untuk bersikap seperti apa yang dikehendaki oleh ketua pejabat pos asal Sri Lanka di Nottingham tersebut. Tetapi di sini ia tidak pernah sampai ke tahap seperti yang di cuba oleh beliau dan adalah diragui akan ada siapa berani mencubanya.

Namun begitu, umum mengetahui bahawa terdapat banyak kejadian yang menunjukkan secara jelas bagaimana masyarakat tempatan memperlihatkan rasa tidak puas hati terhadap rakyat Malaysia yang tidak boleh berbahasa Melayu walaupun mereka telah tinggal di negara ini sejak beberapa generasi.

Sebaliknya, apabila persoalan mengenai keistimewaan dan kuota yang diberikan kepada orang Melayu dan Bumiputera dibangkitkan, penyokong kesaksamaan telah membandingkan Malaysia dengan negara jiran Indonesia dan Thailand.

Sudah tentu, mereka perlu segera diingatkan bahawa negara-negara jiran telah diasimilasikan dan dalam proses asimilasi, budaya, bahasa dan juga agama adalah berteraskan kepada kaum majoriti atau utama. Dalam kebanyakan keadaan, budaya dan bahasa bangsa asal pendatang diketepikan.

Malangnya, apabila orang Melayu di Malaysia membangkitkan isu mengenai kebimbangan bahawa kaum dan budaya mereka digantikan atau terpinggir akibat keengganan pendatang untuk menyerap budaya dan bahasa tempatan, mereka dilabelkan sebagai rasis dan fanatik.

Menjadi lebih malang, mereka yang membuat label sedemikian, menyokong kesamarataan dan menentang keistimewaan untuk Melayu dan Bumiputera, tidak menerima apa yang mereka mahu itu berasaskan asimilasi.

Tetapi mereka tidak mahu asimilasi. Mereka mahu integrasi, dibenarkan untuk meneruskan bahasa dan budaya negara asal generasi terdahulu mereka.

Pada masa yang sama, peruntukan-peruntukan yang hadir apabila memilih dasar integrasi dipersoalkan dan didesak dihapuskan, dan lebih cepat adalah lebih baik.

Ini umpama sudah mendapat betis sekarang mahukan paha.

Shamsul Akmar

Rencana asal ini telah diterbitkan di The Malaysian Reserves, 29 Sept 2023 bertajuk Friday Jottings: Having it both ways https://themalaysianreserve.com/2023/09/29/friday-jottings-having-it-both-ways/

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp