Proklamasi Orang Melayu yang di lancarkan oleh Yg Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad pada 19 Mac 2023 lepas dan disokong oleh ramai orang Melayu dari berbagai peringkat sehingga pemimpin-pemimpin Melayu seperti Tuan Guru Haji Hadi, Tan Sri Annuar Musa dan ramai lagi, masih segar dan aktif.
12 Perkara yang tertulis di dalam Proklamasi Orang Melayu yang telah dipersetujui oleh ramai orang Melayu dengan cara menurunkan tandatangan pada borang proklamasi adalah pengakuan dan komitmen betapa untuk maju ke hadapan orang Melayu perlu bertaut kembali dan bersatu seperti yang tercatat pada perkara 12 Proklamasi.
Proklamasi Orang Melayu adalah cara untuk orang Melayu menyedari dan berusaha untuk mengatasi segala kelemahan dan kekurangan baik dari segi ekonomi, sosial dan juga kepincangan pemimpin-pemimpin Melayu.
Hari ini, acap kali bangsa Melayu diuji yang mana terbaru perkataan “Allah” dicetak pada stoking yang digunakan untuk menyarung kaki dijual pada awam di pasar mini dan laungan negara ini negara sekular di Parlimen.
Kenapa semua ini berlaku? jika bukan kerana bangsa Melayu dilihat penyatuannya rapuh. Sudahlah Melayu berpecah kepada banyak kumpulan baik parti politik mahupun NGO, pemimpin-pemimpinnya pula membawa agenda masing-masing samada bersifat kepentingan peribadi mahupun kumpulannya sendiri sahaja.
Proklamasi Orang Melayu adalah janji orang Melayu untuk bartaut, bersatu dan menjadi padu. Proklamasi Orang Melayu adalah untuk orang Melayu mempertahankan maruah bangsa agar dihormati dan Proklamasi Orang Melayu juga untuk mempertahankan tanah Melayu ini dari terlepas ke tangan orang lain.
Jadikan Proklamasi Orang Melayu sebagai fokus perpaduan bangsa Melayu. Gerakan sedang dirancang untuk membawa semangat Proklamasi Orang Melayu ke jangkauan jiwa bangsa Melayu di seluruh tanah Melayu. Mereka yang telah menandatangani proklamasi dan memahami kandungannya, ayuh kita gerak bersama demi penyatuan bangsa dan mempertahankan agama dan negara.
Azman Mohd Hashim –Semangat Melayu
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com