TERKINI

Kedudukan Istimewa Melayu suatu hak yang adil kepada semua

Gambar hiasan – foto Youtube APHD

Kedatangan orang Cina secara beramai-ramai di penghujung abad ke-19 adalah atas beberapa sebab, antaranya ialah kelaparan, mala-petaka, ekonomi, penduduk di bandar Cina yang terlalu ramai, peperangan, lari dari penindasan dan ada juga yang dijual oleh sindiket kongsi gelap sebagai kuli.

Asalnya kedatangan mereka hanyalah untuk sementara, untuk mencari wang dan kekayaan. Mereka sentiasa berhubungan dengan keluarga mereka di negara asal melalui surat dan mendapat maklumat tentang negara China melalui surat khabar dan buku-buku yang dibawa oleh kapal dagang yang berulang alik.

Mereka memastikan budaya dan bahasa mereka kekal di pelihara, sebab mereka masih rakyat negara China dan digelar sebagai Cina Seberang Laut atau “Hua Chiau” dalam Bahasa Mandarin.

Sehingga ke hari ini sekiranya orang Cina dari Malaysia apabila berada di negara China, mereka akan memperkenalkan diri mereka sebagai “Hua Chiau” atau pun Cina Seberang Laut apabila berbicara dengan orang Cina tempatan.

Awalnya mereka menubuhkan kongsi gelap mengikut daerah asal dari mana mereka datang, kongsi gelap ini akan melindungi dan menjaga kebajikan pekerja-pekerja Cina ini.

Lama kelamaan kongsi gelap ini bertukar menjadi ganas dan diharamkan oleh pemerintah British. Orang Cina kemudian membuka persatuan-persatuan bagi mewakili bangsa mereka sehinggalah mereka melibatkan diri di dalam politik tempatan.

Apabila Tanah Melayu menuju kemerdekaan, bermula 1951 persatuan-persatuan Cina ini telah menggerakkan usaha untuk merakyatkan orang Cina, beberapa perhimpunan dan perjumpaan dilakukan bagi mendapatkan sokongan persatuan-persatuan Cina dari seluruh Tanah Melayu.

Antara permintaan yang di buat ialah mengecualikan ujian Bahasa Melayu sebagai syarat kerakyatan dan mereka mahukan hak sama rata dengan orang Melayu.

Tidak menjadi kesalahan dan juga adalah sesuatu yang adil bagi mereka untuk memastikan apa yang terbaik untuk bangsa mereka, permintaan yang dilakukan oleh persatuan-persatuan Cina ini ialah demi kelangsungan orang Cina yang berada di seberang laut jauh dari tanah asal mereka.

Orang Melayu telah mempunyai kerajaan di Tanah Melayu sejak beribu tahun lamanya. Sebelum Perang Dunia Ke-2, hanya Pulau Pinang dan Melaka yang dipanggil Negeri-negeri Selat adalah di bawah pentadbiran British sepenuhnya.

Sembilan Negeri-negeri Melayu yang lain masih mempunyai Raja yang terlibat di dalam Pentadbiran Negeri walaupun British mempunyai pengaruh. Negeri-negeri ini semuanya mempunyai rakyat jelata.

Diringkaskan, semua negeri-negeri Melayu ini dan kedua-dua Negeri Selat telah bergabung dan membentuk Persekutuan Tanah Melayu dan Merdeka pada 1957. Malah Persekutuan Tanah Melayu ini diketuai oleh seorang Raja Melayu yang digelar Yang Di Pertuan Agong.

Seperti bangsa-bangsa lain di dunia ini, bangsa Melayu juga mempunyai maruah dan tidak rela untuk berkongsi kedudukan istimewa yang jelas adalah haknya.

Jesteru apabila orang Melayu mempertahankan kuasa politik Melayu agar pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu kekal di tangan orang Melayu, malah apabila orang Melayu menolak untuk berkongsi kedudukan istimewa orang Melayu dengan bukan Melayu.

Maka ianya adalah satu yang adil untuk orang Melayu dan sah kerana Kedudukan Istimewa Orang Melayu diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Azman Mohd Hashim SM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp