TERKINI

Kemusykilan Tentang Projek PSI Dan Impian DAP

“Journal of Southeast Asian Studies; Vol. 4, No. 1 (Mar., 1973)”. Foto – Cambridge,org

Melihat cita-cita dan usaha gigih DAP untuk meneruskan juga cadangan projek “Penang South Reclamation” yang kini di panggil “Penang South Island” (PSI), di mana kita menyaksikan penentangan dan bantahan dari berbagai pihak, terutamanya yang berkaitan dengan alam sekitar.

Banyak pandangan dan kajian yang menyatakan projek ini akan memberi impak negatif yang akan menyebabkan kerosakan kekal ke atas hidupan laut di tapak projek dan kawasan sekitarnya.

Keluasan projek ini ialah 4500 ekar, kajian menunjukkan ratusan spesis kehidupan laut akan terjejas. Bukan itu sahaja, nelayan-nelayan yang telah beberapa generasi mendapatkan sumber pendapatan di sekitar perairan itu juga akan menerima kesan yang teruk.

Perancangan projek ini agak menimbulkan beberapa persoalan. Adakah Negeri Pulau Pinang ini hanya seberang Pulau? Seberang Perai bukan sebahagian dari Negeri Pulau Pinang?

Seolah-olah Pulau Pinang tidak cukup wilayah untuk dimajukan hingga terpaksa menambak laut untuk membesarkan wilayah. Keluasan negeri Pulau Pinang melebihi 200 ribu ekar, tidak mungkin tiada wilayah yang boleh dimajukan.

Ada saya terbaca, projek ini merujuk kepada kejayaan Pulau Jurong di Singapura. Semua tahu, Singapura tiada pilihan, kerana mereka negara kecil yang tidak mencukupi wilayahnya, maka langkah menambak laut untuk membesarkan wilayah adalah sesuatu yang diterima akal.

Teringat kepada satu perkongsian yang dibuat oleh Tan Sri Mohd Yusoff Latiff Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), beliau menceritakan pengalaman peribadi di Malaysia Today pada Disember 2019.

Di mana sekitar tahun 1948 hingga 1957 satu Gerakan Kemerdekaan Pulau Pinang telah di usahakan dengan sokongan semua Persatuan Bukan Melayu di Pulau Pinang.

Merujuk kepada satu artikel yang di tulis oleh saudara Namri Sidek pada Januari 2020, dimana beliau merujuk kepada sebuah jurnal yang di tulis oleh Mohd. Noordin Sopiee dengan tajuk “The Penang Secession Movement, 1948-1951” disiarkan di dalam “Journal of Southeast Asian Studies; Vol. 4, No. 1 (Mar., 1973)” di terbitkan oleh “Cambridge University Press”.

Gerakan Kemerdekaan Pulau Pinang ini, diantara sebabnya ialah, mereka mahu kekal menjadi rakyat British.

Ada tokoh-tokoh kaum Cina yang amat bangga menjadi Cina British, telah secara terbuka menyatakan kebencian mereka kehilangan status sebagai rakyat British dan terpaksa menerima menjadi penduduk tetap Tanah Melayu, ini disiarkan oleh The Straits Echo surat khabar rasmi Pulau Pinang di ketika itu.

Malah ada cadangan yang mahu menggabungkan Singapura dan Pulau Pinang sebagai satu negara, merujuk kepada kedua wilayah ini adalah sebahagian dari negeri-negeri Selat.

Jadi masih adakah orang Pulau Pinang menyimpan cita-cita ini? Mereka yang tinggal di Pulau Pinang baru generasi ke-tiga, malah generasi ke-dua dari era tersebut masih ramai yang hidup lagi.

Kesungguhan untuk melaksanakan projek PSI ini memang mencurigakan, satu projek yang memakan masa 30 hingga 50 tahun. Dipercayai secara perlahan-lahan akan mengubah lanskap demografi penduduk di seberang Pulau, yang pasti akan membawa lebih ramai kaum yang mampu untuk tinggal di atas pulau.

Sementara mereka yang tidak mampu untuk hidup di atas pulau ini akan secara perlahan-lahan meninggalkan pulau. Kita masih ingat bagaimana PAP membawa Singapura keluar dari Malaysia.

Lagi satu, secara umumnya sejarah Pulau Pinang dikatakan bermula dari 1786 dengan kisah Kapten Francis Light. Faktanya, Pulau Pinang adalah jajahan Kesultanan Kedah, walaupun ada 10 orang tinggal di atas Pulau itu, mereka adalah rakyat kepada Sultan Kedah dan tanahnya berdaulat.

Sejarah Pulau Pinang sama lamanya dengan sejarah negeri Kedah, sebahagian dari Tanah Melayu. Malah Francis Light mendapatkan Pulau Pinang dengan cara berdusta kepada Sultan Kedah. Melayu Pulau Pinang kena pertahankan fakta ini.

Sewaktu artikel ini ditulis, Kerajaan Pulau Pinang telah bersetuju untuk mengurangkan skala projek sebanyak 49 peratus dengan tidak meneruskan pembinaan dua buah pulau, hanya tinggal satu pulau dengan keluasan 2300 ekar.

Namun idea dan tujuan asal perlaksanaan projek tetap menjadi persoalan. Masih juga menghairankan, sebuah projek mega yang dirancang secara menyeluruh boleh pula di potong-potong dengan mudah, buang dua tinggal satu.

Sudah pasti ia akan mengganggu segala perancangan projek tersebut. Adakah ini satu kedegilan? Kenapa juga masih mahu diteruskan?

Apa yang dibentangkan di dalam artikel ini hanyalah kemusykilan berdasarkan fakta dan sejarah.

SM Azman Mohd Hashim

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp