Anwar Ibrahim adalah tokoh penting PH, tanpa retorik Anwar, PH tidak akan dikenali seperti hari ini.
Namun Anwar sahaja, tidak membawa apa-apa kekuatan. Kekuatan itu datang dari parti DAP. Ini hakikat yang perlu diakui semua.
Kekuatan DAP ini datang dari sokongan akar umbi yang utuh, yang terbukti dalam PRU atau PRN, yang lalu malah sejak 2008. Sokongan utuh ini datang kerana retorika DAP berjaya mengatasi retorik MCA, Gerakan dan MIC.
Maka, adakah saya mengkritik DAP kerana saya cemburu akan kekuatan parti itu? Tidak. Dan, saya mengkritik DAP bukan dari sudut pandang Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin atau Tuan Guru haji Hadi, bukan.
Saya mengkritik DAP dari persepktif seorang yang telah bergelumang dengan parti ini lebih 10 tahun. Analisa kritik saya ini bukan kerana benci atau peribadi, tetapi kerana pengalaman dan kefahaman.
Saya menyertai DAP bukan ikut-ikutan (trend) atau kerana tiada pilihan. Bukan.
Saya sertai DAP kerana ketika itu saya percaya ‘Jalan Tengah’ yang dibawa oleh parti ini. Dikalangan ‘middle class’ dalam DAP menyebutnya ‘Middle Malaysia’.
Saya mempelajari ideologi parti ini bukan dari tepi jalan. Bukan dari dakwah ‘whatsapp’ berantai, tetapi dari arkib sejarah dan pengalaman bersama akar umbi DAP. Saya bersama pimpinan parti, menggerakkan kempen ‘Jalan Tengah’ ini hingga parti ini jadi kerajaan 2018.
Ketika menjadi kerajaan selepas PRU 14 (2019), disitulah wajah ‘Jalan Tengah’ ini menunjukkan bentuk dan perangainya yang sebenar.
Idea-idea Jalan Tengah dan Sosial Demokrasi hanya slogan retorik, penyedap telinga untuk membina persepsi.
Ketika menjadi kerajaan PH 1.0. Idea-idea ini dikorupkan oleh kemaruk kuasa politik yang menjijikkan, saya suarakan kekhuatiran perubahan ini pada pimpinan, jawapannya klise – ‘we need to take this opportunity’. Saya lihat5 ketika itu, DAP sudah tiada beza dengan MCA hatta UMNO, yang dikritiknya selama ini.
Saya kenal idea Malaysian Malaysia sejak dalam DAP lagi, bukan baru semalam. Namun ketika itu idea ini kurang dibincangkan dan disebut baik dalam konvensyen parti mahupun diskusi-diskusi tertutup yang saya hadir. Diskusi yang saya tak sertai, maka saya tak tahu.
Melihat dan mengalami sendiri naratif politik DAP dari dalam, saya rumuskan bahawa idea Malaysian Malaysia ini sememangnya suatu idea yang tidak Malaysia; tidak berpijak di bumi yang nyata.
Ia adalah idea yang dirumus oleh kumpulan ahli politik yang kecewa dan marah kerana mereka beranggapan bahawa mereka adalah golongan ‘kelas kedua’ dalam negara ini.
Malaysian Malaysia bukan sebuah idea atau gagasan besar yang berlatarbelakangkan falsafah abad ke 15 atau 21. Tidak.
Sebaliknya ia adalah idea yang datang dari ‘kemarahan dan kekecewaan’ kumpulan minoriti yang merasakan identiti mereka sebagai kelas kedua. Dari kekecewaan mereka ini, maka diberi takrifan baharu tentang Malaysia – Malaysian Malaysia.
Kerana itulah kita mendengar Kit Siang beretorik tentang ‘Ketuanan Rakyat’, melawan kemarahannya kepada UMNO yang membawa ‘Ketuanan Melayu’. Sedangkan kemarahan ini tidak perlu.
Kerana itu jugalah kita mendengar Ramasamy minta kepada Anwar agar dominasi Melayu dalam kakitangan awam dipecahkan. Ini aksi politik orang yang marah dan kecewa.
Manifestasi ‘kekecewaan dan kemarahan’ politik ini tidak rasional. Tidak rasional kerana mereka enggan berasimilasi, sebaliknya menggunakan integrasi untuk mengubah naratif identiti Malaysia kepada Malaysian Malaysia – mengikut kemahuan dan ego mereka.
Saya tidak marah, sebaliknya saya gembira kerana pertama; DAP akhirnya akui bahawa idea Malaysian Malaysia adalah matlamat politiknya, dan kedua; idea inilah yang akan membawa DAP ke arah kekalahan.
DAP sudah masuk ke fasa kemuncak yang mana mereka tidak boleh berkembang lagi kecuali dengan terus menunggang Anwar Ibrahim.
Kita tahu, Anwar juga sedar beliau sedang ditunggang oleh DAP, tetapi keseronokan menjadi PM, menjadi bius menghilangkan kesakitannya ketika ini.
Kepada rakan-rakan – kita tak perlu takut atau risau dengan DAP, mereka akan tersungkur sendiri. Malaysian Malaysia akan menjadi punca kejatuhan DAP. Kita hanya perlu berusaha memperkukuh perjuangan kita tidak kira apa jua parti politik anda.
Kita tolak Malaysian Malaysia kerana ia bukan Malaysia dan ia datang dari kekecewaan, kemarahan dan ego DAP. Kekecewaan dan kemarahan ini adalah kesombongan mereka, dan ia bukan jalan untuk membina negara. Bukan
Mahdzir bin Ibrahim
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com