TERKINI

Kenyataan Anwar Ibrahim hanya propaganda politik

Khairuddin Abu Hassan – malayadaily.com

Rakyat Malaysia tidak bodoh dan pada hari ini sukar untuk orang-orang politik menipu atau membohongi akar umbi lagi.

Inilah yang dimaksudkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Anwar Ibrahim tidak faham ekonomi dan asas kewangan negara.

PMX adalah orang politik yang bijak membuat kenyataan serta retorik politik semata-mata tetapi pada hakikatnya beliau tidak mempunyai kebolehan bagi mentadbir atau memacukan ekonomi negara kita.

Kini, Anwar Ibrahim sedang merosakkan ekonomi negara dan jika perkara ini berterusan kita takut sukar untuk ‘repair’ semula Malaysia.

Nilai ringgit masih menjunam jatuh dan kos sara hidup naik melambung.

Terbaru PMX selaku PM dan Menteri Kewangan mengarahkan Gabenor Bank Negara bagi menjelaskan mengenai kejatuhan ringgit.

Inilah sifat semulajadi Anwar Ibrahim pakar mengalihkan kesalahan serta kelemahan beliau pada bahu orang lain.

Sepatutnya beliau selaku Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan kena jawab secara komprehensif mengenai kejatuhan nilai ringgit secara berterusan.

Dulu Tun Dr Mahathir Mohamad jawab sendiri apa saja mengenai hal ehwal ekonomi negara serta mengambil pendirian tegas buat keputusan mampan bagi melawan penyangak matawang antarabangsa yang cuba jatuhkan nilai ringgit.

Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Tun Dr Mahathir Mohamad memikul sendiri apa saja cabaran yang dihadapi mengenai ekonomi negara secara pantas, tuntas dan efektif.

Malahan, Tun Dr Mahathir Mohamad berani berbahas di setiap pelusuk dunia bagi mempertahankan pendirian beliau mengenai ‘tambatan’ nilai ringgit pada waktu itu yang disangsikan oleh negara-negara maju.

Inilah kekuatan ilmu pengetahuan mengurus tadbir negara secara efektif yang ada pada Tun Dr Mahathir Mohamad tapi tiada langsung pada Anwar Ibrahim.

Kalau hendak dibandingkan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim dapatlah diibaratkan seperti ‘langit dengan bumi.’

Kejayaan Tun Dr Mahathir Mohamad menangani krisis ekonomi dunia pada tahun 1987 serta krisis matawang pada tahun 1997 amat menyerlah.

Hari ini Anwar Ibrahim secara konsisten cuba memperbodohkan rakyat jelata tetapi rakyat Malaysia amat bijak kini.

Keseluruhan rakyat Malaysia tahu ‘Foreign Direct Investments’ (FDI) menurun 47.1% dari RM74.6 bilion pada tahun 2022 kepada RM39.5 bilion bagi tahun 2023.

Sebagai perang propaganda untuk mengelabui mata rakyat Malaysia kini Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan mewar-warkan kononnya jumlah pelaburan diluluskan mencatat tahap yang membanggakan RM329.5 bilion pada tahun 2023 meningkat 23% daripada 2022.

Orang bodoh pun tahu jumlah pelaburan diluluskan bukan jumlah nilai pelaburan (FDI) yang sebenarnya mengalir ke dalam negara.

Sama-sama kita tanya PMX apakah jumlah pelaburan diluluskan RM329.5 bilion semuanya sedang atau sudah dilaksanakan?

Inilah cara PMX mentadbir negara kita masakini dengan mengujudkan persepsi saja.

Sekarang pentadbiran negara penuh dengan unsur-unsur penipuan dan tipu helah bagi melindungi kelemahan pentadbiran beliau.

Selagi ‘hayat dikandung badan’ maka selagi itulah Anwar Ibrahim akan terus menipu rakyat dengan propaganda bodohnya yang sudah tidak relevan lagi dalam era siber yang membolehkan rakyat mendapat matlumat secara sahih dari segenap sumber.

Atas dasar ini jugalah penipuan dan propaganda Anwar Ibrahim sudah tidak menjadi lagi!

Khairuddin Abu Hassan, Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp