Hari ini kerajaan yang berkuasa diwakili oleh pemimpin-pemimpin dari PKR, DAP, UMNO dan Amanah serta yang lain-lain. Sistem demokrasi yang kita warisi, telah menyebabkan rakyat tiada pilihan.
Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke 15 lalu tidak memberi kemenangan mutlak kepada mana-mana parti untuk membentuk kerajaan yang kuat. Maka kita terpaksa menerima gabungan kerajaan sekarang, walaupun terdapat parti yang ditolak rakyat kerana isu rasuah di dalam gabungan kerajaan ini.
Keputusan pilihan raya diumumkan pada hari Sabtu 19 November 2022 telah memberi harapan kepada rakyat untuk melihat kepimpinan baru. Di mana kepimpinan sebelumnya dibayangi dengan isu rasuah dan salah guna kuasa.
Rakyat perlukan perubahan kepimpinan kerajaan yang sepatutnya memberi harapan untuk meyaksikan sebuah kerajaan yang dipimpin oleh mereka bebas rasuah, berprinsip dan mampu membawa kelegaan kepada rakyat yang sedang dihimpit masalah ekonomi dan inflasi, rupanya hanya bertahan satu hari sahaja.
Pada hari Isnin rakyat melihat Pakatan Harapan (PH) telah duduk sebilik bersama UMNO/BN untuk berbincang bagi membentuk kerajaan, parti yang rakyat bertungkus lumus tolak dan hasilnya ialah Kerajaan sekarang yang Timbalan Perdana Menterinya ialah Presiden UMNO.
Keputusan PRU ke 15, menyaksikan hampir 70 peratus rakyat menolak UMNO/BN, tetapi UMNO/BN kekal didalam kerajaan kerana tindakan PH. Bukan ini sahaja yang kepimpinan PH telah lakukan kepada rakyat.
Semenjak isu 1MDB rakyat telah menolak UMNO/BN, rakyat sanggup turun ke atas jalanan, berpanas berhujan. Demi untuk menjatuhkan pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang penuh dengan skandal rasuah dan penyalah gunaan kuasa.
Setelah berjaya menjatuhkan Kerajaan UMNO/BN dan presidennya Datuk Seri Najib sehingga di penjarakan, UMNO/BN tetap diketuai oleh mereka yang terbabit dengan rasuah dan sedang di bicarakan di mahkamah dengan 47 pertuduhan.
Malah di dalam kempen PRU15, PH begitu hebat sekali mengkritik UMNO/BN dan berjanji akan menentang rasuah habis-habisan, sehingga setiap ceramah akan dimulakan dengan lagu yang dicipta khas, dan dinyanyikan sendiri oleh presiden PKR “hoi hoi ya hoi siapa sokong penyamun” sebelum beliau memulakan ceramah.
Begitu juga dengan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Bin Sabu, yang kita kenali sebagai Mat Sabu. Beliau menjerit-jerit didalam ceramah mengatakan semua Pemimpin UMNO/BN adalah perompak.
Tidak kurang juga Rafizi dan pemimpin DAP dan PKR yang lain. Hari ini, Pemimpin-pemimpin UMNO/BN adalah sahabat baik mereka, dan Presiden UMNO yang sedang di bicarakan dengan 47 tuduhan rasuah dan dikrikit hebat oleh Perdana Menteri dilantik menjadi Timbalan beliau. Malah hari ini kita lihat usaha yang di buat untuk memohon pengampunan bagi Datuk Seri Najib tidak pun di halang atau dibantah oleh PH.
Bermacam-macam janji lagi dibuat oleh kepimpinan PH. Antaranya, berjanji harga minyak akan turun dalam masa 24 Jam jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, ini dilaungkan berkali-kali dan bertahun-tahun.
Datuk Seri Anwar juga melantik beberapa pemimpin UMNO yang kalah dalam PRU15 sebagai Menteri, Umpamanya Zambry yang kalah di Lumut dan Tengku Zafrul yang kalah di Kuala Selangor, malah dalam kempen Datuk Seri Anwar berjanji, seandainya beliau dinobatkan sebagai Perdana Menteri Tengku Zafrul pasti tiada dalam senarai.
Rafizi juga, pada Oktober 2022 telah menfailkan satu Rang Undang-undang Persendirian dengan tujuan tidak membenarkan Perdana Menteri memegang Jawatan Menteri Kewangan, hari ini Perdana Menteri juga adalah Menteri Kewangan, malah memegang Potfolio Menteri Wilayah Persekutuan.
Pada bulan November 2022, Perdana Menteri melalui Majlis Tindakan Sara Hidup memberi 2 minggu kepada kementerian bertanggungjawab untuk menyediakan kertas kerja, cara menangani isu kos sara hidup.
Baru-baru ini Ketua Perangkaan, Jabatan Perangkaan Negara, Datuk Seri Uzir Mahidin melaporkan di Astor Awani. Inflasi makanan, minuman bukan alkohol serta restoran dan hotel masih kekal tinggi.
Nilai wajaran hasil kumpulan makanan dan minuman tanpa alkohol serta hotel dan restoran merangkumi 47 peratus daripada jumlah wajaran keseluruhan Indeks Harga Pengguna yang akan memberi kesan signifikan pada kadar inflasi dan kos sara hidup rakyat.
Jadi mana perginya kertas kerja dan cadangan menangani isu kos sara hidup? Apa polisi kerajaan untuk atasi masalah kos sara hidup ini? Rakyat berterusan menderita.
Kalau hendak ulas berkenaan kepimpinan UMNO, perlu artikel khusus untuk mereka, tetapi disini kita sentuh sedkikt sahaja. Perhimpunan Agong UMNO 2020 pada Mac 2021, Presidennya menyeru kepada ahli-ahli UMNO dan orang Melayu, keputusan PAU dan Majlis Tertinggi ialah “NO DAP, NO ANWAR” percayalah dan yakinlah kepada beliau.
Hari ini Presiden UMNO sudah menjadi Timbalan Pedana Menteri kepada Kerajaan kepimpinan Anwar dan kepimpinan DAP sudah boleh bermesyuarat di bangunan Ibu Pejabat UMNO.
Terlalu banyak untuk disentuh, tetapi yang jelas ketara. Di manakah prinsip pemimpin-pemimpin ini semua? Bolehkah mereka melepaskan diri dengan setiap kali berjanji kemudian bertindak sebaliknya? Bolehkah mereka ini dipercayai?
Adakah pemimpin-pemipin ini menganggap rakyat yang ramai ini tidak cerdik atau tidak faham? tidak peduli dan tidak endah apa sahaja yang pemimpin-pemimpin ini hendak kata atau buat?
Sedarlah kita semua, kerajaan sekarang sedang memperlekeh serta menghina kebijaksanaan dan kewarasan minda rakyat. Tetapi beringatlah, rakyat tidak sebodoh yang mereka sangka, kuasa tetap ditangan rakyat, dan rakyat telah melalui beberapa ujian yang mendidik mereka untuk membuat keputusan yang terbaik di PRU akan datang nanti.
Azman Mohd Hashim SM
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com