TERKINI

Keutamaan Sejarah Melayu Dalam Pelajaran

Gambar hiasan – malayadaily.com

Kisah tentang kehebatan Bangsa Eropah tidak asing bagi kita, semenjak dari dahulu lagi kita dihidangkan dengan visual yang menggambarkan kehebatan empayar-empayar mereka melalui media popular seperti Televisyen dan Filem serta buku-buku cerita.

Umpamanya kisah kehebatan Empayar Rom, Empayar Greek, Vikings, Kolonial Sepanyol, Kolonial Inggeris dan sebagainya.

Begitu juga dengan Negara China, kita biasa digambarkan dengan kehebatan tentera-tentera yang berjumlah puluhan ribu dari Kerajaan Chu, Han dan Wu seperti di visualkan dalam kisah “The Three Kingdoms” dan juga kisah-kisah pelayaran Laksamana Zheng He.

Ini semua memberi impak psikologi kepada kita semua, secara separa sedar kita mengagumi dan mengaku bangsa mereka adalah bangsa yang hebat. Mereka juga secara dalam minda merasakan mereka itu adalah bangsa hebat, kerana itu lah kita dapat melihat mereka melakukan perkara-perkara yang berani dan mencabar dan mencapai kejayaan.

Bila kita bercerita tentang sejarah orang Melayu, perkara yang menonjol ialah sejarah Melaka jatuh ke tangan Portugis, kisah kolonialisma Inggeris ke atas Tanah Melayu atau cerita askar Jepun menakluk Malaya dengan hanya menunggang basikal. Kisah yang hebat-hebat seakan-akan tertimbus, tidak berapa diingati atau terlalu kurang pendedahan.

Ini di tambah dengan peninggalan bangunan-bangunan zaman penjajah di sekeliling kita yang terus menerus mengingatkan bahwa kita ini bangsa yang pernah di jajah, malah dibina satu replika kapal Flor de la Mar yang digunakan oleh Alfonso de Albuquerque, apabila beliau kembali dalam kejayaan menawan kota Melaka pada 1511, dimana kapal tersebut dipenuhi dengan pelbagai barangan berharga dan harta yang melimpah ruah termasuk berdozen-dozen emas, tembikar, khazanah manuskrip yang dianggarkan bernilai berbillion-billion pound milik orang Melayu untuk di persembahkan kepada Raja Portugis.

Sejarah kehebatan tamadun Melayu perlu diberi penekanan, perlu dibawa naik ke media popular. Kini telah banyak kajian dilakukan tentang keujudan tamadun-tamadun Melayu lama yang hebat-hebat seperti, Kerajaan Funan pada abad pertama, Kerajaan Champa di abad ke 2, Kedah Tua, Gangga Nagara, Sri Vijaya sehingga ke Kerajaan Islam Melaka.

Di sekolah, sejarah ini mungkin diajar secara ringkas, hanya fakta-fakta seperti; kerajaan ini wujud di abad mana? apa aktiviti perdagangan mereka? dengan siapa mereka berdagang? Apa yang sebenarnya kita perlukan ialah kisah-kisah keagongan Raja-raja yang berkuasa serta bagaimana mereka meluaskan empayar pemerintahan mereka, kisah-kisah keberanian dan kebijaksanaan orang Melayu.

Pernah terdengar komen-komen kenapa pelajaran sejarah terlalu fokus kepada Melayu sementara bangsa-bangsa lain tidak banyak diwakili di dalam sejarah negara.

Apabila kita hendak membina bangsa Melayu, kita perlu tegas dan tidak perlu bertoleransi dalam perkara sebegini. Sejarah keagungan Bangsa Melayu mesti terus diajar kepada pelajar-pelajar.

Generasi Melayu akan datang perlu kenal sejarah Bangsa Melayu, jati diri Melayu perlu dikekalkan. Anak-cucu kita perlu merasa bangga menjadi Bangsa Melayu dan menyedari darah yang mengalir di dalam tubuh mereka adalah darah yang setanding dengan mana-mana juga bangsa di dunia ini.

Azman Mohd Hashim SM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp