TERKINI

Lawatan Kapal China – Provokasi atau Diplomasi?

Azman Mohd Hashim (penulis) – malayadaily.com

Baru-baru ini, dua kapal perang milik Tentera Laut China, iaitu kapal latihan Qi Jiguang dan kapal pendaratan amfibi Jinggangshan, telah berlabuh di Pulau Pinang. Kapal-kapal ini membawa lebih daripada 1,000 anggota, yang terdiri daripada pelatih dari “Naval University of China.”

Tindakan ini boleh dianggap sebagai tidak sensitif terhadap perasaan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, terutama sekali apabila terdapat sesi lawatan ke sebuah sekolah menengah persendirian Cina.

Sekiranya lawatan ini bertujuan untuk menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, seharusnya ia melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia atau sekurang-kurangnya penuntut dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Pihak kerajaan tidak seharusnya membenarkan situasi seperti ini berlaku. Sekolah Menengah Persendirian yang dikunjungi bukan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, tetapi dikendalikan secara swasta. Sukatan pelajarannya juga bukan berasaskan kurikulum kebangsaan, malah penggunaan bahasa Mandarin menambahkan lagi kekeliruan dan kemusykilan oleh ramai.

Oleh itu, kerajaan tidak boleh menyalahkan rakyat yang mempersoalkan tujuan lawatan ini, memandangkan ia menimbulkan pelbagai tanggapan negatif. Lawatan ini dilihat sebagai provokatif, yang menjadi punca respon negatif daripada orang Melayu. Ia benar-benar menimbulkan banyak persoalan.

Antaranya, Sekolah Menengah Persendirian Cina sering dikaitkan dengan fahaman komunis kerana enggan menerima kurikulum kebangsaan. Setiap tahun, ramai pelajar dari sekolah-sekolah ini menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke universiti di China. Malah, ramai juga yang belajar ke sana dengan biaya sendiri.

Adakah kedatangan pelatih dari Naval University of China ini dengan mempamerkan kehebatan anggota dan kapalnya bertujuan untuk merekrut pelajar-pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina bagi menyertai universiti tersebut kelak?

Kerajaan tidak seharusnya menyalahkan rakyat, khususnya orang Melayu, sekiranya timbul rasa tidak puas hati dan bimbang tentang keselamatan negara. Kerana acara seperti ini haruslah lebih sensitif kepada sentimen rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu.

Azman Mohd Hashim SM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp