TERKINI

Cadang buka rumah pelacuran, Rosyam Nor diselar sebagai daif, dangkal – Putra

Zarina Zainal Abidin (gambar kecil) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 10 Jan 2024 – Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Parti Putra, Zarina Zainal Abidin menyelar kenyataan sutradara, Datuk Rosyam Nor agar rumah pelacuran dibenarkan beroperasi di ibu kota bagi memuaskan nafsu pendatang asing tanpa izin.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Undang-undang, Anti Rasuah dan Integriti Putra menyifatkan Rosyam atau nama sebenarnya, Mohamed Noor Shamsuddin, 57, sebagai berfikiran daif dan dangkal.

Katanya, sebagai seorang warga di negara berdaulat dan mendokong Islam sebagai agama Persekutuan mengikut Perlembagaan 3 (1), adalah amat malang bagi seseorang individu tersebut secara tidak sedar seolah menyokong gejala yang bukan sahaja tidak bermoral, malah seperti sengaja mencari pasal dengan hukum Allah.

“Sudah-sudahlah berkiblatkan contoh negara Barat seperti United Kingdom (UK) yang menjadikan aktiviti pelacuran sebagai status sah di sisi undang-undang dan menjadikannya suatu perniagaan di negara mereka.

“Adakah rakyat Malaysia sudah terdesak dengan sebarang idea demi mengekang lambakan warga asing yang semakin hari semakin bertambah?

“Tidak cukup dengan itu, kita pula cadangkan supaya kerajaan sediakan hub untuk mereka melempiaskan hawa nafsu, konon untuk mengatasi kes jenayah rogol daripada terjadi kepada anak warga tempatan,” katanya dalam kenyataan kepada MalayaDaily di sini, hari ini.

Bagaimanapun, semalam Rosyam Nor tampil membuat permohonan maaf atas kenyataan yang dibuatnya menerusi program podcast di Suhan Channel bertajuk ‘Otak Porno’ baru-baru ini.

Menurut pelakon dan penerbit itu, beliau tidak menyangka video berkenaan menjadi tular sehingga menimbulkan kekecohan dan mendakwa rakaman tersebar itu adalah video promo untuk program podcast terbitan sebuah saluran di YouTube.

Mengulas lanjut, Zarina berkata, kenyataan itu amat menghina dan pada masa sama menggusarkan apabila ada segelintir netizen menyokong penuh pandangan seperti itu.

“Jangan biasakan norma yang tidak mengikut lunas adab, adat mahupun budaya timur seperti kita, waima mahu negara melangkah jauh mengikut arus kemodenan yang didamba.

“Dari perspektif lain pula, seandainya idea gila ini diterimapakai dan diadaptasi menjadi kenyataan, satu hal lain pula akan menanti iaitu penularan penyakit berjangkit berbahaya seperti AIDS atau sebagainya.

“Cukup-cukuplah mengeluarkan kenyataan seperti ini yang secara tidak langsung membenarkan keberadaan si “makhluk asing” ini dengan lebih lama lagi di sini,” katanya.

Sudahlah begitu, katanya, Malaysia sebagai tuan rumah pula terpaksa memikirkan pelbagai fasilitis termasuk hal berkaitan “kesedapan dan keselesaan seks” untuk warga asing.

Justeru, kata Zarina, sudah tiba masanya pempengaruh media sosial seperti Rosyam Nor yang telah ada nama dalam industri seni mengajak sesiapa sahaja ke arah kebaikan.

“Atau tindakan paling selamat ialah menutup mulut dan diam. Hanya kerana nak sedap beberapa minit, negara dapat bala. Fikir-fikirkan,” katanya. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp