Istilah Madani hari ini diulang-ulang dalam wacana politik seolah-olah ia satu pencapaian besar, progresif dan selari dengan cita-cita Rasulullah SAW. Namun persoalan pokok yang wajib ditanya oleh umat Islam ialah: Madani yang mana?
Adakah Madani yang berakar daripada wahyu, kenabian dan Piagam Madinah, atau Madani yang telah dicabut daripada akar Islamnya lalu dijadikan slogan pentadbiran sekular?
Saya agak keberatan pada awal duhulu untuk menegur apabila barisan pentadbir negara hari ini menamakan sebagai “Kerajaan Madani”, tetapi apabila melihat kepada lantikan terbaru dalam kabinet yang mengelarkan diri sebagai “Kerajaan Madani”.
Saya merasakan perkara ini perlu diperjelaskan agar umat tidak terkeliru istilah retorik Kerajaan Madani ini dengan Kerajaan Madani dari Piagam Madinah yang sebenar dan tegurun ini saya anggap sebagai satu tanggungjawab ilmiah dan amanah aqidah bukannya mahu menunggang agama kerana saya tidak ada kepentingan politik.
Titik tolaknya mari kita mulai dahulu dengan memahami “Madani” menurut Rasulullah SAW: Negara Berteras Wahyu. Negara Madinah yang dibina oleh Rasulullah SAW bukan negara neutral aqidah, dan bukan juga negara pluralisme agama atau liberalisme sosial seperti yang difahami hari ini.
Ciri asasnya jelas iaitu kedaulatan Allah SWT sebagai sumber hukum tertinggi, Rasulullah SAW sebagai Nabi dan Ketua Negara, Islam sebagai rujukan nilai, undang-undang dan keadilan dan paling ketara non-Muslim hidup di bawah perjanjian (‘ahd/dzimmah), bukan sebagai penentu falsafah negara, serta kita perlu faham bahawa toleransi wujud, tetapi kebenaran tidak dikompromi.
Inilah Madani Nabawi masyarakat bertamadun kerana Islam, bukan masyarakat Islam yang tunduk kepada faham luar Islam. Dan jika kita kembali meneliti keseluruhan Piagam Madinah ternyata Madani Rasulullah berteras Islam sepenuhnya.
Apa yang kita lihat hari ini Piagam Madinah sering dijadikan hujah untuk mengabsahkan pluralisme dan konsep “negara semua agama sama”. Ini satu pemotongan sejarah yang tidak jujur atau kata Murabbi Ust Uthman El-Muhammady; intelectual barbarism.
Hakikat Piagam Madinah yang sebanar ialah meletakkan Rasulullah SAW sebagai rujukan tertinggi bukannya tunduk bawah DAP seperti yang berlaku hari ini. Landasannya menyebut umat Islam sebagai “ummah wahidah”, namun ada ruang dan memberi hak kepada Yahudi tanpa menyerahkan kepimpinan aqidah dan hukum dan muktamadnya menjadikan Allah dan Rasul sebagai pemutus akhir pertikaian.
Ini selari dengan pandangan Imam al-Māwardī dalam al-Aḥkām al-Sulṭāniyyah bahawa: “kepimpinan negara Islam bertujuan ḥirāsah al-dīn wa siyāsah al-dunyā (memelihara agama dan mengurus dunia dengannya). Saya tidak menolak Ibnu Khaldun dengan kitab masyhurnya “Muqadimah” tetapi dalam kontek isu yang dibicarakan al-Aḥkām lebih menepati.
Ibn Khaldūn menegaskan dalam Muqaddimah dengan kata; Kekuasaan yang tidak berpaksikan agama akan menjadi zalim, rapuh dan tidak berumur panjang. Maka pada pandangan saya, apabila istilah Madani dipisahkan daripada aqidah dan syariat, ia berubah menjadi propaganda retorik politik sebagai slogan meraih undi dan jenama politik, malah lebih teruk ia adalah retorik moral kosong seperti yang tuan puan dapat lihat hari ini.
Inilah yang sedang berlaku apabila Madani disamakan dengan good governance versi Barat (kata Datuk Luqman Sheriff), human rights tanpa batas ilmu wahyu (saya ambil dari pendapat Prof Dato’ Dr Shamrahayu) dan paling dibimbangi inilah pluralisme agama yang berkali-kali ditegur melalui beberapa pembentangan oleh murabbi Ust Uthman El-Muhammady sehingga NGO Muafakat menerbitkan buku berjudul Pluralisme Agama : Satu Gerakan Iblis Memurtadkan Ummah oleh Ismail Mina Ahmad.
Di Mana Penyimpangannya?
Masalah utama bukan kepelbagaian kaum atau agama, tetapi masalah sebenarnya ialah apabila Islam tidak lagi menjadi neraca, syariat dianggap penghalang kemajuan. Kebenaran agama disamakan dan istilah Madani dijadikan perisai untuk agenda sekular. Maka menyamakan struktur ini dengan kerajaan Madinah Rasulullah SAW adalah pengeliruan besar terhadap umat.
Saya menegur kerana kasihkan umat ini daripada terus diperbodohkan oleh sekumpulan mereka yang bersekongkol demi kepentingan politik mereka semata-mata, semoga teguran ini tersentap dihati untuk direnungi dengan lebih mendalam.
Kita tidak menyeru kebencian. Kita menuntut kejujuran ilmiah. Jika mahu membina pentadbiran berteraskan kecekapan, katakan ia pentadbiran cekap. Jika mahu menegakkan keadilan sosial, katakan ia dasar kebajikan.
Tetapi jangan mencabut istilah Madani daripada Islam, lalu menggunakannya untuk menghalalkan sistem yang bercanggah dengan roh Madinah Nabawiyyah.
Madani bukan milik parti, bukan milik slogan, dan bukan milik kempen politik. Madani ialah warisan Rasulullah SAW, dibina dengan wahyu, dipelihara oleh ulama, dan wajib dipertahankan maknanya oleh umat.
Menegur penyalahgunaan istilah Madani bukan menolak kemajuan, tetapi mempertahankan kebenaran sejarah dan maruah Islam.
Wallahu a’lam
Saya yang ikhlas – Lebai Kampung aje
Artikel ini telah disiarkan di facebook Labai Kampung pada 17 Dis 2025
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com