Sesuaikah jika kita menyatakan bahawa Malaysia ini negara orang Melayu? Adakah kita akan dituduh tidak sensitif hingga boleh menyinggung perasaan rakyat Malaysia yang bukan berbangsa Melayu?
Mereka juga rakyat Malaysia yang bersama-sama membantu memajukan ekonomi dan pembangunan Negara.
Baru-baru ini saya mengikuti satu siaran “Live FB Tanah Aku Kini” yang menjemput Profesor Dr Solehah Yaacob, Pensyarah Falsafah Nahu Arab, Sejarah Bahasa dan Peradaban dari UIAM.
Beliau menyatakan bahawa, sejarah Melayu di negara kita bukan hanya bermula dari sekitar tahun 1400 dimana ketika Parameswara membuka Melaka, ianya bermula lebih awal dari itu.
Mengikut kajian beliau, terdapat banyak catatan kuno yang boleh didapati dari arkib-arkib di seluruh Dunia, seperti negara-negara Arab, Cina, India dan Eropah yang menyimpan maklumat-maklumat yang menceritakan tentang peradaban awal bangsa Melayu.
Menurut beliau lagi melalui kajian DNA, tanah nusantara yang secara geografinya merangkumi dari Filipina hingga ke Kampuchea termasuk Kepulauan Sumatera dan Borneo, yang mana seluruh kawasan ini juga di kenali sebagai alam Melayu. Telah membuktikan orang Melayu telah wujud di alam Melayu ribuan tahun lamanya.
Ini adalah bukti jelas tanah Melayu yang dikenali sebagai Malaysia ini telah didiami orang Melayu yang berkerajaan sejak sekian lama.
Sejarah bangsa lain bermula sebagai pekerja Imigran yang di beri kerakyatan sewaktu kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.
Dan sebagai rakyat negara ini mereka ada hak untuk mendapat perlindungan di bawah undang-undang negara, mereka berhak untuk bekerja dan berniaga membuat kekayaan, mereka juga berhak hidup dalam keadaan aman tenteram.
Sebagai orang Melayu, kita mempunyai hak untuk mengatakan tanah Melayu adalah milik orang Melayu dan ia tidak sepatutnya mengguris perasaan sesiapa pun. Kerana ini adalah fakta sejarah yang tidak boleh diubah.
Bagi bukan Melayu yang menjadi rakyat negara Ini, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk taat dan setia kepada pemerintah tertinggi negara iaitu Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong serta menghormati undang-undang.
Mereka juga bertanggungjawab membantu memajukan negara dari segi ekonomi dan pembangunan, kerana itu ialah tanggungjawab sebagai seorang rakyat.
Sekiranya ada pihak yang hendak cuba melucutkan identiti Melayu dan Islam dari negara ini dengan menyatakan Malaysia bukan milik Melayu, pihak inilah yang tidak sensitif serta cuba mengguris perasaan orang Melayu.
Azman Mohd Hashim SM – Sekretariat Tanah Air
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com