TERKINI

Malaysia Perlu Berhati-hati Dengan Huawei

Gambar hiasan – foto Majalah Labur

Menggunakan firma Huawei dari China sebagai rakan infrastruktur rangkaian 5G negara membawa risiko besar di sebalik ketegangan perang mikrocip dan landskap geopolitik semasa.

Kemajuan teknologi telah memberi impak besar ke atas kehidupan kita, terutamanya dalam sektor telekomunikasi. Negara yang maju adalah negara yang mempunyai infrastruktur telekomunikasi yang cekap dan moden.

Namun, dalam usaha kita untuk memajukan Malaysia, kita mesti membuat keputusan yang bijak dan tidak merugikan kedaulatan negara.

Risiko penjajahan ekonomi yang dibawa

Adalah menjadi tugas setiap pemimpin negara untuk memastikan kedaulatan ekonomi negara kita dijaga rapi. Kedaulatan ekonomi bermakna kita mempunyai kuasa penuh atas ekonomi kita sendiri dan tidak bergantung kepada kuasa asing.

Dengan memilih Huawei untuk pembinaan infrastruktur 5G Malaysia, kita seolah-olah menyerahkan sebahagian daripada kedaulatan ekonomi kita kepada pihak asing.

Kemudahan internet adalah salah satu infrastruktur strategik milik negara yang mesti dilindungi setiap masa. Pada zaman data adalah senjata ini, adalah lebih baik proses yang ketat dan pemilihan yang bijak dilaksanakan untuk memilih pembekal peralatan 5G alternatif kepada Ericsson. Memberi ruang kepada

Huawei bererti membuka pintu kepada China untuk menjadikan data rakyat Malaysia sebagai tebusan dalam penjajahan ekonomi.

Mencalarkan integriti proses tender dan tatakelola

Antara aspek penting dalam pengurusan awam adalah proses perolehan yang telus, terbuka dan adil. Proses ini memastikan bahawa setiap syarikat mempunyai peluang yang sama dan adil bagi mendapatkan projek.

Di dalam kes Digital Nasional Berhad (DNB), Ericsson telah memenangi tender ini dengan jujur dan telus selepas melalui proses penilaian yang ketat.

Mereka telah menunjukkan keupayaan dan kecekapan mereka, melalui teknologi dan pengalaman yang jauh ke hadapan berbanding pesaing yang lain.

Namun, dengan penyertaan Huawei tanpa melalui proses tender yang sama, integriti seluruh proses ini telah dipertikaikan, secara tidak langsung telah menimbulkan keraguan terhadap ketelusan dan keadilan dalam perolehan dan tadbir urus projek penting negara.

Isu keselamatan dan kontroversi berhubung Huawei

Salah satu kebimbangan terbesar tentang Huawei adalah rekod keselamatan dan integritinya. Syarikat ini telah dituduh melakukan aktiviti pengintipan di beberapa negara.

Amerika Syarikat dan United Kingdom telah mengambil tindakan untuk mengeluarkan Huawei dari infrastruktur mereka. Langkah tersebut diambil susulan kebimbangan tentang keselamatan, malah Portugal dan Jerman kini turut mengambil tindakan terhadap Huawei berkenaan ancaman keselamatan dari pemasangan infrastruktur 5G mereka.

Data adalah sumber yang sangat berharga dalam era digital ini. Keselamatan data rakyat dan negara mesti menjadi keutamaan. Adakah kita mahu mengambil risiko dengan bekerjasama dengan syarikat yang mempunyai rekod yang mencurigakan?

Persoalan hubungan bilateral dengan China

Hubungan baik dengan negara-negara jiran adalah penting. Namun, hubungan ini mesti berlandaskan saling hormat dan tidak memihak kepada mana-mana pihak. Dengan pemilihan Huawei, timbul persoalan apakah ini adalah sebahagian daripada perjanjian yang lebih besar dengan China.

Isu Laut China Selatan telah menjadi titik perdebatan antara Malaysia dan China selama bertahun-tahun. Kita mesti memastikan bahawa setiap keputusan yang diambil tidak merisikokan kedudukan strategik Malaysia dalam isu ini.

Hala tuju dan masa depan DNB

DNB telah ditubuhkan dengan matlamat untuk memajukan infrastruktur telekomunikasi negara, dengan kadar yang berpatutan serta liputan yang lebih menyeluruh bagi kepentingan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira lokaliti.

Dengan pelaburan dan sumber yang telah dikerahkan, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa matlamat ini dicapai, terutamanya bagi rakyat di Sabah dan Sarawak.

Namun, dengan penyertaan Huawei, masa depan DNB menjadi tidak pasti. Ini bukan sahaja bakal membazirkan sumber yang telah dilaburkan tetapi juga boleh menyebabkan hilangnya peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Yang lebih merugikan, rakyat yang sepatutnya mendapat akses internet berkualiti bagi memajukan perniagaan atau meneruskan pendidikan sehingga kini masih tidak dapat menggunakan dan menikmati teknologi 5G ini, hanya gara-gara permainan kotor dan politik perolehan belakang pintu berkenaan pelaksanaan 5G negara.

Beri peluang dan ambil iktibar

Sebagai sebuah negara yang berdaulat, kita harus membuat keputusan yang terbaik untuk kepentingan rakyat dan negara.

Setiap keputusan mempunyai kesan jangka panjang dan mesti dipertimbangkan dengan teliti. Pemilihan Huawei bagi pembinaan infrastruktur dwirangkaian 5G mempunyai banyak implikasi dan risiko yang sewajarnya dipertimbangkan dan diperhalusi dengan serius.

Pemimpin kita perlu mendengar suara rakyat dan memastikan bahawa setiap keputusan yang diambil adalah dalam kepentingan terbaik negara.

Kita tidak boleh membiarkan kepentingan asing mengatasi kepentingan kita serta kepentingan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.


* Datuk Mohd Imran Tamrin merupakan peguam dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang.

Artikel ini telah disiarkan di Astro Awani

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp