TERKINI

Melarang laungan takbir, satu penghinaan kepada orang Melayu Islam

Pehimpunan ‘Freedom for Palestine’ – foto The Rakyat Post

Bacalah mana-mana kisah sejarah yang menceritakan tentang kejatuhan sesuatu bangsa ataupun kerajaan pada masa silam, pasti akan ada unsur-unsur pembelotan dari bangsa itu sendiri.

Untuk menjatuhkan sesuatu bangsa itu bukan mudah, lebih-lebih lagi jika bangsa itu bersatu. Kerap kali musuh akan mendapat kejayaan apabila ada diantara bangsa itu sendiri yang menjadi pembelot dan pengkhianat.

Al-Quran juga menggunakan kisah-kisah sejarah supaya umat Islam menggunakan fikiran dan mengambil pengajaran dan peringatan daripadanya.

Merujuk kepada kejadian Ahad 22 Oktober, Perhimpunan Solidariti Palestin. Tersebar video di sosial media yang menunjukkan pihak penganjur melarang para peserta perhimpunan dari melaungkan takbir memuji Allah S.A.W. dengan laungan “Allahu Akbar” serta melarang apa-apa sepanduk yang mempunyai gambar menghina Perdana Menteri Israel dan Presiden Amerika Syarikat.

Penganjur yang melarang itu adalah dari kumpulan Melayu Islam dan suara dan susuk tubuh yang mengeluarkan arahan secara jelas itu adalah seorang Melayu Islam.

Inilah yang dikatakan pembelotan dan pengkhianatan kepada bangsa dan Agama, kerana mempertahankan penjenayah antarabangsa yang telah bertahun-tahun membunuh umat Islam bukan sahaja di Palestin sebenarnya, malah di seluruh dunia.

Konflik negara Islam yang melibatkan kematian kanak-kanak, wanita dan orang tua mana yang tiada campur tangan negara Amerika.

Apa yang terjadi sebenarnya pada hari Ahad lalu adalah satu keadaan yang boleh dikira nasi telah menjadi bubur untuk ketika ini, kerana kuasa pentadbiran negara bukan di tangan bangsa Melayu sepenuhnya, sebahagian besarnya ditangan orang lain.

Beberapa kali sudah peluang dibuka untuk orang Melayu menentukan kuasa, tetapi ramai yang tidak mengambil serius. Setiap kali Pilihanraya, mahupun Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri. Peratusan yang keluar mengundi tidak mencukupi, kerana itu sahaja cara untuk menentukan kuasa di negara ini.

Kejadian pada Ahad lalu sudah menjadi sejarah, maka ambillah iktibar dan pengajaran darinya. Apabila kuasa bukan di tangan, untuk melaungkan nama Allah pun boleh dilarang.

Sebagai rakyat Malaysia berbangsa Melayu dan beragama Islam di dalam negara Islam, saya rasakan itu satu penghinaan. Apabila tiba lagi peluang untuk menentukan kuasa, bangsa Melayu perlu berfikir dan belajar dari sejarah dan bertindaklah sewajarnya agar sejarah yang buruk tidak berulang.

Azman Mohd Hashim SM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp